JDT bangkit benam Cong An Ha Noi 3-1

Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC, 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/27/Foto Facebook JDT

KUALA LUMPUR, 19 November – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC, 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/27 di Stadium Hang Day, Hanoi, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nene tertampan bola sendiri beri kelebihan awal tuan rumah pada minit ke-4.
  • Oscar Arribas meledak dua gol termasuk penyamaan minit ke-50 dan gol penutup minit ke-86.
  • Marcos Guilherme meletakkan JDT di hadapan minit ke-60 hasil hantaran Jairo da Silva.
  • JDT bawa pulang tiga mata, kini kongsi kedudukan teratas Kumpulan B bersama Persib Bandung.

Skuad Harimau Selatan yang turun memburu kemenangan kedua berturut-turut bagaimanapun dikejutkan seawal minit keempat apabila Nene tertampan bola ke gawang sendiri untuk memberikan kelebihan awal kepada tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Xisco Munoz memperkemas corak permainan sebelum meningkatkan asakan pada babak kedua bagi memburu gol penyamaan.

Usaha pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-50 apabila Oscar Arribas meledak gol menarik selepas berjaya melepasi kawalan empat pemain pertahanan lawan untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat JDT yang terus meningkatkan tekanan sebelum Marcos Guilherme meletakkan Harimau Selatan di depan 2-1 pada minit ke-60 hasil hantaran Jairo da Silva.

Tidak berpuas hati dengan kelebihan satu gol, JDT terus mengasak kubu lawan sebelum Arribas sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-86 untuk melengkapkan dua gol peribadinya, sekali gus melebarkan kedudukan kepada 3-1.

Cong An Ha Noi cuba bangkit pada penghujung permainan dan hampir merapatkan jurang menerusi Nguyen Quang Hai pada minit ke-89, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan pemain berkenaan berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan itu menyaksikan JDT membawa pulang tiga mata berharga, sekali gus berkongsi kedudukan teratas Kumpulan B bersama wakil Indonesia, Persib Bandung, dengan kedua-dua pasukan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.

Kedua-dua pasukan turut memiliki rekod jaringan yang sama apabila masing-masing meledak sembilan gol dan hanya dibolosi sekali, sekali gus mencatat perbezaan jaringan positif lapan gol.

Persib sebelum itu turut meneruskan rentak kemenangan apabila membelasah Shan United 6-0 di Stadium Gelora Bandung Lautan Api.

Selepas mengharungi cabaran di Hanoi, JDT kini mengalihkan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila dijadualkan bertemu Ratchaburi FC di Stadium Ratchaburi, Thailand, Selasa ini. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.