Modal kelestarian perlu pacu pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat

Foto FB Fadillah Yusof

PETALING JAYA, 19 November —Modal dalam sektor kelestarian perlu menjana manfaat ekonomi yang meluas dengan memastikan pelaburan tenaga boleh baharu (TBB), inovasi dan infrastruktur hijau menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta generasi akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

RINGKASAN BERITA AI
  • NETR menetapkan sasaran 70% kapasiti TBB dan pelepasan sifar karbon menjelang 2050, mengikat peralihan tenaga dengan pembinaan negara.
  • Belanjawan 2027 memperuntukkan pembiayaan untuk pengukuhan grid, projek penyimpanan tenaga dan inisiatif pembiayaan mampan.
  • Sisa harian dan biojisim besar membuka peluang penyingkiran karbon, penghasilan produk tenaga boleh baharu dan pembangunan rantaian nilai baharu.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, modal pada hakikatnya adalah alat untuk mencipta nilai jangka panjang, dan transformasi ekonomi hanya berlaku apabila modal disalurkan ke loji jana kuasa, kilang, talian penghantaran serta inovasi.

“Pelaburan dalam inovasi bukan sahaja mampu memperkukuh perniagaan, malah dapat membuka peluang kepada anak muda Malaysia untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Pelaburan dalam kelestarian hari ini pula mungkin membawa manfaat yang tidak sempat kita saksikan sepenuhnya tetapi akan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Bagi saya, itulah makna sebenar modal yang mempunyai tujuan,” katanya menerusi ucaptama pada MBSB Sustainability Future Capital Summit 2026 hari ini.

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia telah menetapkan komitmen untuk mencapai 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050 serta mencapai pelepasan sifar karbon seawal 2050.

“Matlamat ini sering digambarkan sebagai sasaran iklim. Saya berpendapat kita juga perlu mengiktirafnya sebagai sasaran pembinaan negara. Setiap projek TBB memperkukuh keterjaminan tenaga kita. Setiap pelaburan dalam grid memperkukuh daya tahan ekonomi kita,” katanya.

Belanjawan 2027 memperuntukkan kira-kira RM17 bilion bagi pelaburan dan inisiatif pembiayaan termasuk RM15 bilion untuk memperkukuh grid elektrik negara serta RM1 bilion bagi projek penyimpanan tenaga dan hibrid.

Dalam pada itu, peruntukan RM1 bilion pula melalui Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi pelaburan bertumpu kepada iklim.

Sementara itu, Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menetapkan sasaran untuk menggerakkan pembiayaan mampan berjumlah RM90 bilion hingga RM100 bilion menjelang 2030.

Datuk Seri Fadillah berkata, Malaysia menghasilkan hampir 39,000 tan sisa setiap hari dan 60 juta tan biojisim setahun.

Ini sekali gus membuka peluang untuk penyingkiran karbon, penghasilan produk TBB serta pembangunan rantaian nilai baharu melalui penggunaan teknologi, pembiayaan dan kerjasama yang tepat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.