
KUALA LUMPUR, 19 November – Sektor pelancongan negara terus diperkukuh menerusi jalinan strategik Tourism Malaysia dengan penyedia perkhidmatan wang dan pengeluar e-wang berlesen, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade) dengan memperkenalkan Kad Prabayar Visa Melawat Malaysia Merchantrade Money.
- Maklum balas pelancong: sukar bawa wang tunai, masalah keserasian kad dan kod QR ketika berbelanja.
- Kad memudahkan transaksi tanpa tunai, baki boleh dipulangkan dan menyokong pengeluaran ATM serta pembayaran terminal Visa dan DuitNow QR.
- Kad juga boleh digunakan oleh rakyat Malaysia di luar negara dengan penukaran mata wang automatik yang telah ditetapkan.
- Merchantrade dipilih atas syor Bank Negara, membuka ruang kerjasama lebih luas dan memberi nilai tambah kepada pengusaha pelancongan serta peniaga kecil.
Usaha tersebut dilaksana sebagai langkah memacu transaksi tanpa tunai sempena kempen Melawat Malaysia 2026–2027.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama pintar itu dicetuskan susulan maklum balas daripada pengusaha pelancongan luar negara dan pelancong asing yang berdepan kekangan membawa wang tunai fizikal, selain masalah keserasian kad dan kod QR ketika berbelanja di negara ini.
“Jadi, mereka bertanya sekiranya ada kad prabayar yang memudahkan mereka tanpa perlu membawa tunai ke mana-mana dan baki wang boleh dipulangkan semula. Itulah yang ditawarkan oleh Merchantrade,” katanya.
Beliau yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di ibu negara hari ini.
Menurutnya, kad berkenaan direka khusus untuk memudahkan pelancong masuk ke Malaysia dengan menikmati penukaran mata wang yang kompetitif, akses pengeluaran wang di mesin ATM, transaksi di terminal Visa serta membuat pembayaran melalui DuitNow QR di seluruh negara.
“Sebenarnya bukan pelancong saja, kita orang Malaysia pun boleh guna kad ni dan kenapa kalau kita pergi luar negara pula, secara automatik ia menukar mata wang. Kadar pertukaran asing tu dah ada”
Pemilihan Merchantrade katanya adalah berdasarkan syor oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkukuh ekosistem pelancongan negara.
Jelasnya, inisiatif berkenaan mampu memberi nilai tambah kepada pengusaha pelancongan serta peniaga kecil apabila pelancong asing boleh berbelanja dengan mudah, sekali gus meningkatkan hasil jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan.