Malaysia dalam proses untuk menganggotai UPOV 1991

Foto FB Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 November – Malaysia sedang meneruskan proses untuk menganggotai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan (UPOV) 1991.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan UPOV 1991 adalah sebahagian komitmen Malaysia di bawah CPTPP.
  • Kerajaan menyemak dan mencadangkan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) untuk selaras keperluan semasa.
  • Cadangan pindaan diperiksa oleh Jabatan Peguam Negara dan agensi serta melibatkan pandangan petani, NGO, akademia dan pemain industri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyertaan itu merupakan sebahagian daripada komitmen negara di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Penyertaan Malaysia dalam UPOV ini merupakan sebahagian daripada komitmen negara di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang telah diratifikasi pada 30 September 2022.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan melaksanakan semakan dan cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 bagi memastikan peruntukan selaras dengan keperluan semasa, perkembangan industri serta komitmen antarabangsa yang berkaitan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses semakan dan cadangan pindaan itu turut melalui penelitian terperinci Jabatan Peguam Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap cadangan mengambil kira kerangka perundangan negara, dasar kerajaan serta kepentingan nasional.

Penyertaan itu merupakan antara komitmen Malaysia selepas CPTPP berkuat kuasa bagi negara ini pada 29 November 2022, dengan tempoh peralihan empat tahun untuk menyertai UPOV 1991.

Akta 634 pula menjadi asas perlindungan hak pembiak baka terhadap varieti tumbuhan baharu yang dibangunkan.

Kerajaan sebelum ini turut menyatakan bahawa proses penyediaan pindaan akta berkenaan mengambil kira pandangan petani, Pertubuhan Bukan Kerajaan, ahli akademik, agensi kerajaan dan pemain industri menerusi beberapa siri sesi libat urus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.