
KUALA LUMPUR, 19 November -Sebanyak 83,090 permohonan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) diluluskan daripada keseluruhan 210,579 permohonan yang diterima sejak 2002.
- 82,283 rumah siap diserahkan kepada penerima, manakala 807 lagi masih dalam pembinaan.
- Peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2027, RM472.37 juta untuk pembinaan dan sasaran meningkat kepada 6,823 unit.
- Peruntukan RM47.25 juta untuk penyelenggaraan PPR 2027; permohonan dinilai teliti, utamakan kerosakan lif, bumbung, tangki air dan pendawaian.
- Pendekatan bersepadu urus haiwan terbiar: pusat tahanan ke pusat adopsi, pemandulan, mikrocip, insentif, semakan undang-undang kecil PBT untuk penalti lebih tegas.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sejumlah 82,283 rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima, manakala 807 lagi masih dalam pembinaan.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM500 juta menerusi Belanjawan 2027 dengan RM472.37 juta untuk kos pembinaan rumah dan RM27.63 juta bagi pembayaran kadar keuntungan bank program perumahan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).
“Seiring dengan peningkatan peruntukan tersebut,sasaran pembinaan juga dipertingkat kepada 6,823 unit berbanding yang lepas hanya 6,545 unit, iaitu peningkatan sebanyak 4.2 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Aiman Athirah berkata, KPKT menerima 214 permohonan peruntukan bagi membiayai kerja pembaikan dan penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) strata bertingkat serta rumah kos rendah awam, khususnya melibatkan kerosakan yang boleh mengancam keselamatan penghuni.
Bagaimanapun, dengan peruntukan RM47.25 juta bagi penyelenggaraan PPR pada 2027, kementerian akan menilai setiap permohonan secara lebih teliti dan mengutamakan kerosakan yang memerlukan tindakan segera.
“Antara aspek yang diberi keutamaan ialah kerosakan lif, bumbung, tangki air, sistem retikulasi, paip sanitari, pendawaian elektrik serta harta bersama, terutama PPR yang berusia lebih 10 tahun,” katanya.
Berhubung pengurusan haiwan terbiar, beliau berkata KPKT bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan pendekatan bersepadu merangkumi penambahbaikan pusat tahanan kepada pusat adopsi, program pemandulan serta kempen pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, PBT turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pertubuhan bukan kerajaan dalam program pemandulan selain menggalakkan pemilik memasang mikrocip serta memandulkan haiwan peliharaan melalui pemberian insentif.
Tambah beliau, KPKT juga sedang menyemak undang-undang kecil PBT bagi mengenakan penalti lebih tegas terhadap pemilik yang cuai manakala kes penganiayaan haiwan disalurkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM6,355,599,800 yang diperuntukkan kepada KPKT dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 27 Ahli Parlimen.