
DHAKA, 19 November – Rumah keluarga bekas pemimpin Bangladesh yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus dibakar individu tidak dikenali di bandar pelabuhan Chittagong, ketika ketegangan politik negara itu semakin memuncak.
- Beberapa cawangan Grameen Bank diserang menggunakan api dalam beberapa hari kebelakangan.
- Keganasan politik menyebabkan pertempuran, mengorbankan dua aktivis BNP dan 107 orang ditahan.
- Bekas Perdana Menteri Hasina dijatuhi hukuman mati; pengumuman pulang bulan depan tingkatkan kebimbangan keselamatan.
Kejadian berlaku semalam menjelang kepulangan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang dirancang pada Disember, selepas beliau melarikan diri ke India susulan kebangkitan rakyat pada 2024.
Menurut polis, kebakaran hanya melibatkan bahagian timur rumah berkenaan yang digunakan sebagai ruang penyimpanan, tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Setakat ini, identiti individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu masih belum dikenal pasti.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa cawangan Grameen Bank yang diasaskan Yunus turut menjadi sasaran serangan khianat menggunakan api sejak beberapa hari lalu.
Ketegangan politik turut menyaksikan pertempuran antara kumpulan yang bersaing sehingga mengorbankan dua aktivis Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang memerintah.
Polis memaklumkan, seramai 107 individu ditahan sejak semalam susulan beberapa insiden keganasan yang tercetus di negara berkenaan.
Sementara itu, penyokong Liga Awami pimpinan Hasina mengadakan mogok dan perhimpunan pada Khamis bagi memperingati ulang tahun pertama hukuman mati yang dijatuhkan terhadap bekas perdana menteri itu.
Hasina, 79 tahun, dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya pada tahun lalu selepas disabitkan kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung tindakan keras terhadap penunjuk perasaan pada 2024.
Bagaimanapun, beliau tetap berikrar untuk kembali ke Bangladesh bulan depan, sekali gus meningkatkan perhatian terhadap perkembangan keselamatan dan kestabilan politik negara itu. – AFP