Stok ikan sejuk beku diperkukuh hadapi fenomena El Nino

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 19 November -Langkah awal diambil bagi memperkukuh stok simpanan ikan sejuk beku sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kekurangan bekalan susulan fenomena El Nino.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fenomena El Nino dijangka menjejaskan hasil tangkapan nelayan, khususnya di kawasan pantai.
  • Perkukuh stok penimbal ikan sejuk beku untuk memastikan bekalan di pasaran kekal stabil.
  • LKIM dan sektor swasta diminta meningkatkan simpanan ikan sejuk beku untuk disalurkan ke pasaran.
  • Kerajaan tingkatkan kesiapsiagaan melalui kepelbagaian sumber dan kerjasama pembekal alternatif, utamakan pasaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fenomena itu dijangka menjejaskan hasil tangkapan nelayan, khususnya di kawasan pantai.

Menurutnya, stok penimbal strategik perlu diperkukuh bagi memastikan bekalan ikan di pasaran kekal stabil sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita meminta pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sektor swasta meningkatkan stok simpanan ikan sejuk beku sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kekurangan bekalan. Insya-Allah, stok berkenaan dapat disalurkan ke pasaran bagi memastikan keperluan ikan rakyat terus mencukupi,” katanya ketika berucap pada Forum Keterjaminan Makanan, di sini.

Dalam pada itu, kerajaan turut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis bekalan makanan menerusi kepelbagaian sumber bekalan serta kerjasama dengan negara pembekal alternatif.

Langkah itu membolehkan bekalan makanan diperoleh dari pasaran alternatif dengan segera sekiranya berlaku gangguan susulan ketidaktentuan geopolitik atau sekatan eksport.

Selain itu, kerajaan turut mengutamakan bekalan makanan untuk pasaran tempatan sekiranya berlaku kekurangan, bagi memastikan keperluan pengguna terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.