Teliti cadangan kaji semula Akta Dadah Berbahaya 1952

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR, 19 November -Kerajaan mengambil maklum cadangan supaya Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dikaji semula bagi memperkukuh pendekatan rawatan dan pemulihan penagih dadah, susulan isu peningkatan
jumlah banduan berkaitan kesalahan dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan maklum cadangan mengkaji semula Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya bagi memperkukuh pendekatan rawatan dan pemulihan penagih.
  • Kesediaan menilai keberkesanan undang-undang berdasarkan data dan pengalaman pelaksanaan tanpa menjejaskan keselamatan serta ketenteraman masyarakat.
  • Pelaksanaan libatkan PDRM bagi penguatkuasaan dan AADK untuk pencegahan, rawatan serta pemulihan penagih dadah.
  • Cadangan menambah baik Seksyen 15(1) dengan garis panduan kepada pendakwa raya dan majistret untuk salurkan penagih ke rawatan awal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan sentiasa bersedia menilai keberkesanan undang-undang berdasarkan data dan pengalaman pelaksanaan, tanpa menjejaskan keselamatan serta ketenteraman masyarakat.

“Jadi, kerajaan mengambil maklum supaya seksyen yang dimaksudkan tadi, Seksyen 15(1) di bawah Akta Dadah Berbahaya 1972 dikaji semula dan sentiasa
bersedia untuk menilai keberkesanan undang-undang berdasarkan data dan pengalaman pelaksanaan dengan memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara.

“Manakala pelaksanaan melibatkan dua agensi utama di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu PDRM, bagi penguatkuasaan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi pencegahan, rawatan dan pemulihan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (Kluang) yang mencadangkan supaya Seksyen 15(1) ditambah baik dengan garis panduan kepada pendakwa raya dan majistret bagi membolehkan penagih dadah disalurkan kepada rawatan
sejak peringkat tangkapan, sekali gus mengurangkan kesesakan penjara.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Shamsul memaklumkan seramai 12,255 banduan sabitan direkodkan bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan di bawah Seksyen
15(1)(a) bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Dalam tempoh sama, seramai 31,827 banduan sabitan direkodkan bagi kesalahan pemilikan dadah kecil, manakala keseluruhan banduan sabitan berkaitan dadah berjumlah 64,356 orang.

Kerajaan akan terus mengimbangi pendekatan penguatkuasaan dengan usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.