Xi, Trump dan Putin adakan pertemuan tiga hala pertama di China

Foto AFP

SHENZHEN, 19 November – Presiden China, Xi Jinping, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan pertemuan tiga hala pertama, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan perbincangan ialah keselamatan global dan kestabilan hubungan kuasa besar, berikutan konflik di Ukraine dan Iran yang mencetuskan ketegangan.
  • Xi menggesa kerjasama anggota tetap Majlis Keselamatan PBB untuk menangani cabaran global serta memelihara keamanan dan kestabilan dunia.
  • Timbul kebimbangan keputusan isu antarabangsa dibuat tanpa penglibatan negara terjejas; isu utama termasuk perang Rusia-Ukraine, konflik Iran dan kawalan senjata nuklear.

Tumpuan terarah kepada keselamatan global dan kestabilan hubungan antara kuasa besar, ketika konflik di Ukraine dan Iran terus mencetuskan ketegangan antarabangsa.

Pertemuan yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) itu disifatkan Trump sebagai detik bersejarah dalam hubungan ketiga-tiga negara.

“Saya amat gembira lawatan ini memberi peluang kepada kami mengadakan pertemuan tiga hala pertama.

“Dalam erti kata itu, dan dalam banyak aspek lain, kita sebenarnya sedang mencipta sejarah,” katanya.

Sementara itu, Xi menggesa ketiga-tiga kuasa besar berkenaan memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran global, seiring tanggungjawab mereka sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Sebagai kuasa besar dunia dan anggota tetap UNSC, ketiga-tiga negara kita harus menunjukkan teladan yang baik, bekerjasama menangani cabaran global serta bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan dunia.

“Kita juga perlu memberikan sumbangan lebih besar kepada kemajuan manusia,” katanya.

Bagaimanapun, pertemuan berkenaan turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan keputusan berkaitan konflik antarabangsa dibuat tanpa penglibatan negara terjejas.

Antara isu utama yang menjadi perhatian ialah perang Rusia-Ukraine, konflik di Iran serta kawalan senjata nuklear berikutan tamatnya perjanjian kawalan senjata antara Washington dan Moscow pada Februari lalu.

Terdahulu, Trump mengadakan pertemuan berasingan dengan Putin, yang merupakan rundingan pertama kedua-dua pemimpin sejak Ogos 2025.

Presiden AS itu turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Xi, dengan agenda merangkumi hubungan perdagangan serta perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Xi menyifatkan hubungan China-AS sebagai semakin stabil dan bertambah baik, selain memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada kestabilan dunia.

Bagaimanapun, ketiga-tiga negara sebelum ini memberikan penjelasan berbeza mengenai agenda rundingan, khususnya sama ada konflik Ukraine akan dibincangkan secara mendalam.

Trump menyatakan kesediaan AS dan China membantu usaha menangani perang berkenaan, manakala Kremlin berpandangan isu Ukraine sukar diketepikan daripada rundingan tiga hala itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.