
KUALA LUMPUR, 19 November – Hubungan diplomatik erat serta kerjasama strategik pelbagai pihak menjadi antara faktor kejayaan Malaysia mengekalkan keanggotaan dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030.
- Keputusan hasil usaha bersepadu Kementerian Komunikasi, MCMC dan Wisma Putra untuk mengekalkan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
- Proses pemilihan di Doha mencabar, namun wakil Malaysia di Geneva dan seluruh dunia bersama pasukan kementerian berjaya mengekalkannya.
- Pengekalan kerusi membolehkan Malaysia terus mempengaruhi dasar, strategi dan hala tuju pembangunan sektor telekomunikasi antarabangsa; memperoleh 145 undi daripada 177 negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu hasil usaha bersepadu Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Beliau berkata, usaha mengekalkan kerusi berkenaan bukan sesuatu yang mudah, khususnya ketika proses pemilihan berlangsung di Doha, Qatar.
“Kita lihat di Doha, bukan mudah untuk kita mengekalkan kerusi tersebut. Namun, berkat usaha Wisma Putra, wakil-wakil Malaysia di Geneva dan seluruh dunia serta pasukan Kementerian Komunikasi sendiri, kita berjaya mengekalkannya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Pengekalan keanggotaan itu membolehkan Malaysia terus memainkan peranan dalam perbincangan dan penetapan dasar, strategi serta hala tuju pembangunan sektor telekomunikasi di peringkat antarabangsa.
Malaysia berjaya mengekalkan kerusi dalam Majlis ITU selepas memperoleh 145 undi daripada 177 negara anggota yang mengambil bahagian dalam pemilihan di Doha, Qatar, pada 16 November lalu.