
KUALA LUMPUR, 19 November – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan antara infrastruktur strategik negara yang akan menyokong peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel atau ‘road to rail’.
- Perkhidmatan kargo ECRL dijangka mula operasi Januari 2027 bagi jajaran Bentong hingga Pasir Puteh, pembukaan sambungan secara berperingkat.
- Satu tren kargo sehingga 45 gerabak mampu membawa kira-kira 3,150 tan, berpotensi menggantikan sekitar 79 lori setiap perjalanan.
- MRL dan EOSSB bekerjasama dengan pelabuhan, kerajaan negeri serta pemain logistik sambil kerajaan memantau dan memperkukuh pelaksanaan peralihan kargo.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkhidmatan kargo ECRL dijadual memulakan operasi pada Januari 2027 bagi jajaran Bentong hingga Pasir Puteh, manakala laluan sambungan termasuk ke pelabuhan akan dibuka secara berperingkat.
Menurutnya, penggunaan pengangkutan rel bagi membawa kargo jarak jauh berpotensi meningkatkan kecekapan logistik negara serta mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya.
“Sebuah tren kargo ECRL yang terdiri daripada sehingga 45 buah gerabak mampu membawa muatan kira-kira 3,150 tan.
“Berdasarkan kapasiti muatan sebuah lori sehingga 40 tan, satu perjalanan tren kargo ECRL berpotensi menggantikan kira-kira 79 buah lori di jalan raya.
“Peralihan ini berpotensi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, pelepasan karbon serta risiko kemalangan yang melibatkan kenderaan berat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSSB) akan terus bekerjasama dengan pihak pelabuhan, kerajaan negeri, pemilik kargo serta pemain industri logistik bagi membangunkan ekosistem kargo di sepanjang jajaran ECRL.
Bagi kawasan Bentong khususnya, usaha mengenal pasti industri dan pemilik kargo yang mempunyai jumlah serta kekerapan penghantaran bersesuaian akan diteruskan, termasuk bagi pergerakan barangan antara kawasan perindustrian Bentong dengan Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Klang serta pasaran lain di sepanjang koridor ECRL.
Menurutnya, kejayaan peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel tidak hanya dinilai berdasarkan satu angka peratusan, sebaliknya turut mengambil kira peningkatan jumlah kargo menggunakan rel, penyertaan pemilik kargo, penggunaan kapasiti tren serta pengurangan kebergantungan kepada lori bagi perjalanan jarak jauh.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan penggunaan perkhidmatan kargo ECRL selepas operasinya bermula serta memperkukuh langkah yang diperlukan bagi memastikan peralihan itu dilaksanakan secara mampan dan berkesan.