
SYDNEY, 19 November- Lebih 100 juta ketam merah mula melakukan migrasi tahunan dari kawasan hutan menuju ke laut di Pulau Christmas, Australia, dalam fenomena alam semula jadi yang menjadi tarikan pengunjung dari seluruh dunia.
- Migrasi berlaku semasa musim hujan; ketam bergerak ke laut untuk membiak mengikut kitaran bulan dan fasa suku akhir.
- Pergerakan besar memerlukan persiapan berbulan oleh pasukan pemuliharaan untuk melindungi laluan merentasi hutan, jalan raya dan jambatan.
- Kawalan semut gila kuning menjadi tumpuan pemuliharaan, membantu memulihkan populasi ketam merah.
- Ketam merah berperanan sebagai spesies utama, mengekalkan kesihatan ekosistem hutan dan menjadi tarikan pengunjung antarabangsa.
Pergerakan besar-besaran itu berlaku ketika musim hujan bermula apabila ketam berkenaan bergerak ke laut untuk membiak.
Menurut Parks Australia, penghijrahan itu bergantung pada kitaran bulan dengan ketam merah dijangka melepaskan telur sebelum subuh ketika air pasang mula surut pada fasa suku akhir bulan.
Fenomena itu menyaksikan ketam bergerak merentasi kawasan hutan, jalan raya dan jambatan, sekali gus memerlukan persiapan selama beberapa bulan oleh pasukan pemuliharaan di pulau berkenaan.
Pengurus Taman Negara Pulau Christmas, Chris Chartres berkata fenomena hidupan liar itu menarik pengunjung dari seluruh dunia.
“Orang ramai datang dari seluruh dunia untuk menyaksikan fenomena hidupan liar yang menakjubkan ini di Pulau Christmas,” katanya.
Beliau berkata usaha pemuliharaan berterusan memainkan peranan penting dalam memulihkan populasi ketam merah khususnya menerusi kawalan semut gila kuning yang menjadi antara ancaman utama spesies itu.
Semut berkenaan sebelum ini menyebabkan puluhan juta ketam merah kehilangan habitat apabila mengambil alih liang tempat haiwan itu berlindung.
Bagaimanapun, usaha mengawal populasi semut itu membantu meningkatkan jumlah ketam merah daripada kira-kira 50 juta kepada lebih 100 juta ekor ketika ini.
“Itu petanda baik bahawa populasi spesies ini terus berkembang,” kata Chartres.
Beliau menyifatkan ketam merah sebagai spesies utama yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan di pulau berkenaan.
“Ketam merah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan hutan. Apabila populasi ketam berkembang dengan baik, keseluruhan ekosistem turut mendapat manfaat,” katanya.
Pulau Christmas yang terletak di Lautan Hindi, kira-kira 350 kilometer ke selatan Indonesia mempunyai keluasan hanya 135 kilometer persegi. -AFP