
KUALA LUMPUR, 19 November – Penggunaan kaedah ‘STOP’ sebagai langkah kawalan diri amat diperlukan bagi mengelak orang ramai tidak mudah terpengaruh apabila berdepan kandungan beremosi tinggi di media sosial.
- Berhenti seketika, tarik nafas, perhati dan semak kesahihan sumber, rancang tindakan wajar tanpa komen negatif.
- Waspada teknologi deepfake yang meniru suara dan wajah; ia boleh mencetuskan reaksi emosi berlebihan tanpa semak fakta.
- Pegang tanggungjawab kolektif: hanya kongsi maklumat sahih daripada sumber berautoriti; fikir panjang kerana komen menjadi jejak digital.
Menurut Pegawai Psikologi Universiti Malaya (UM) Muharram Anuar, kaedah ini melibatkan empat langkah iaitu berhenti seketika (Stop) daripada bertindak terburu-buru, menarik nafas (Take a breath) untuk bertenang agar kembali rasional serta memerhati dan menyemak kesahihan sumber (Observe).
“Langkah terakhir ialah merancang tindakan wajar (Plan), termasuk mengabaikan sahaja kandungan tidak sahih tersebut tanpa meninggalkan komen negatif,” jelas beliau kepada RTM.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kecanggihan teknologi ‘deepfake’ yang mampu meniru suara serta wajah menyerupai individu sebenar juga berupaya mengunci emosi masyarakat sehingga mencetuskan reaksi melampau tanpa usul periksa.
“Kandungan digital beremosi berat seperti paparan kes penderaan boleh mengganggu pemikiran kritis dan mendorong penilaian berat sebelah.
“Emosi yang tidak terkawal ini menyebabkan pengguna media sosial bertindak terburu-buru dengan berkongsi hantaran atau meninggalkan komen negatif tanpa menyelidik kesahihan sumber terlebih dahulu.
“Apabila seseorang sudah terikat dengan emosi berat, pemikiran kritis akan terganggu sehingga menyebabkan penilaian menjadi berat sebelah. ringkaskan.
“Setiap tindakan dan komen yang ditinggalkan di media sosial akan menjadi jejak digital pada masa hadapan, justeru orang ramai perlu berfikir panjang sebelum memberikan sebarang maklum balas,” katanya lagi.
Dalam masa sama, masyarakat diseru agar memikul tanggungjawab secara kolektif dengan memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah sahih daripada sumber berautoriti serta tidak menyebarkan kandungan meragukan.