Lebih 100,000 anggota pelbagai agensi, 2,500 bot siap siaga hadapi MTL

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan menggabungkan pelbagai agensi keselamatan./ RTM

KUALA LUMPUR, 19 November – Lebih 100,000 anggota daripada pelbagai agensi tindak balas dan teknikal digerakkan, manakala hampir 2,500 bot disediakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • NADMA menyelaras kesiapsiagaan menyeluruh melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa negeri dan daerah serta rakan strategik.
  • JKR dan JPS bersedia dengan aset operasi termasuk pam bergerak, set jana kuasa, lori kren, jambatan Bailey, pesawat dan jaket keselamatan.
  • Kerajaan kenal pasti lokasi berisiko dan cerun kritikal; NGO diselaraskan; Bantuan Wang Ihsan diutamakan di pusat pemindahan, bantuan peniaga kecil dipertimbang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan itu turut disokong lebih 2,000 kenderaan pacuan empat roda (4×4), lebih 1,100 lori, 28 pesawat udara dan lebih 35,000 jaket keselamatan.

“Dari segi sumber manusia, lebih 100,000 anggota daripada agensi tindak balas dan agensi teknikal telah pun digerak atur bagi menghadapi MTL ini dan kekuatan ini turut disokong dengan pelbagai aset dan juga peralatan operasi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi MTL pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, penyelarasan kesiapsiagaan itu dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi pendekatan menyeluruh membabitkan agensi kerajaan, pihak berkuasa negeri dan daerah serta rakan strategik.

“Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut bersiap siaga dengan 101 aset, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan 300 pam bergerak, 30 set jana kuasa dan 15 lori kren bagi menyokong operasi menyelamat,” tambahnya lagi.

NADMA turut menyediakan tujuh set jambatan Bailey, selain 31 set oleh JKR dan 11 set oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), manakala enam set lagi dalam proses perolehan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan mengenal pasti 3,045 lokasi berisiko banjir dan 31 kawasan berisiko tanah runtuh, selain 263 cerun kritikal yang memerlukan pemantauan berkala bagi membolehkan tindakan awal dilaksanakan.

Bagi memperkukuh bantuan kepada penduduk terjejas, sebanyak 159 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diselaraskan di peringkat nasional, negeri dan daerah.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, NGO tidak beruniform diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk NGO yang digerakkan parti-parti politik.

Mengenai bantuan kewangan, kerajaan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dengan mengutamakan pemberian bantuan ketika mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Mangsa yang tidak berpindah ke PPS tetapi terjejas akibat banjir juga layak menerima bantuan, dengan syarat berdaftar di pusat pendaftaran mangsa banjir.

Sementara itu, cadangan bantuan kepada peniaga kecil yang terjejas akibat bencana akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pusat untuk pertimbangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.