Sekurang-kurangnya seorang maut dalam kejadian bot terbalik di Senegal

Keadaan bot usang yang terbalik berhampiran kawasan perkampungan nelayan di barat Senegal/ AFP

SENEGAL, 19 November – Sekurang-kurangnya seorang maut selepas sebuah bot usang yang membawa migran terbalik berhampiran kawasan perkampungan nelayan di barat Senegal pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden berlaku 10 hari selepas bot karam di Thieppe yang mengorbankan 43 orang.
  • Beribu-ribu penduduk Afrika Barat terkorban ketika cuba ke Kepulauan Canary melalui laluan Atlantik berbahaya.
  • Pirogue sering membawa penumpang melebihi kapasiti dan berada dalam keadaan usang.
  • Seorang mangsa terselamat berkata bot membawa kira-kira 100 penumpang termasuk lima wanita; jumlah korban belum pasti.

Tragedi terbaharu itu berlaku hanya 10 hari selepas sebuah bot karam di perairan bandar Thieppe di barat laut negara itu, mengorbankan 43 individu dalam salah satu tragedi migrasi paling buruk dalam sejarah Senegal.

Ribuan penduduk dari Afrika Barat dilaporkan terkorban sejak beberapa tahun kebelakangan ini ketika cuba menuju ke Eropah melalui laluan berbahaya di Lautan Atlantik menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol.

Mereka menggunakan bot dikenali sebagai pirogue yang lazimnya membawa penumpang melebihi kapasiti dan berada dalam keadaan usang.

Insiden terbaharu itu dilaporkan berlaku di perairan bandar Yenne selepas bot berkenaan melanggar kawasan berbatu.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Bandar Yenne, Massamba Mbengue dan seorang lagi pemimpin politik tempatan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar korban masih belum dapat dipastikan. Menurut seorang wakil pemimpin kampung, seorang mangsa yang terselamat telah disoal siasat pihak gendarmerie memaklumkan bot berkenaan membawa kira-kira 100 penumpang termasuk lima wanita.

Wakil berkenaan, Oumar Sow berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan dan jeritan mangsa dari dalam bot dapat didengari sehingga ke kawasan pantai.

Seorang komander gendarmerie dilihat mengumpulkan barangan yang ditemukan di dalam bot, termasuk paket air minuman dan barangan peribadi.

Menurut pegawai tempatan, lapan dokumen pengenalan diri, beberapa telefon bimbit serta dokumen pendaftaran sekolah milik seorang pelajar sekolah menengah dari Kabrousse di selatan negara itu turut ditemukan.

Beliau berkata, Yenne kini menjadi antara lokasi pelepasan migran apabila penyeludup manusia datang ke kampung berkenaan untuk merekrut jurumudi bot.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.