11 kakitangan RTM terima pengiktirafan ABU 2026

Penerima Anugerah Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2026

KUALA LUMPUR, 17 November – Seramai 11 kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2026 yang berlangsung di Sri Lanka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan ABU mengangkat jenama nasional dan bakat tempatan ke peringkat antarabangsa, kata Ketua Pengarah Datuk Ashwad Ismail.
  • RTM memenangi anugerah dan mara ke peringkat akhir dalam beberapa kategori utama pertandingan ABU seperti Case Studies dan Screen News Reporting.
  • Ir. Dr Mohd Rizman diiktiraf untuk kajian penggunaan transmisi UHD-TV melalui jalur C bagi menilai keupayaan sistem penyiaran RTM.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, pengiktirafan berteraskan kecemerlangan dalam bidang penyiaran di peringkat antarabangsa itu penting dalam mengangkat jenama nasional serta bakat tempatan ke persada dunia.

“Ia semestinya memberi tumpuan kepada jenama dan aset kita, iaitu bakat.

“Bakat kita telah melayakkan RTM untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Ini sesuatu yang membanggakan dan kita perlu menyasarkan lebih banyak pengiktirafan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas sesi penyampaian anugerah di Menara Angkasapuri, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, sembilan kakitangan muncul sebagai pemenang, manakala dua lagi berjaya mara ke peringkat akhir dalam lima kategori yang dipertandingkan.

Kategori berkenaan ialah Practical Implementation, Case Studies, Screen News Reporting, Screen Sports dan ABU Members’ Showcase 2026.

Bagi kategori Case Studies, Ir. Dr Mohd Rizman Sultan Mohd menerima pengiktirafan menerusi kajian eksperimen penggunaan transmisi UHD-TV melalui jalur C (C Band) untuk sistem penyiaran.

“Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menilai keupayaan sistem penyiaran RTM bagi memastikan kita tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi penyiaran,” katanya.

Sementara itu, Farah Huda Sahiran menerima pengiktirafan sebagai finalis bagi kategori Screen News Reporting menerusi penerbitan program PARAKOM: Immediate Medical Assistance.

“Terbitan ini memberi tumpuan kepada peranan sukarelawan dalam menyediakan perkhidmatan bantuan kecemasan kepada individu yang memerlukan di sekitar bandar raya Melaka.

“Walaupun hanya berjaya mara ke peringkat akhir, saya bangga dengan pencapaian ini dan akan berusaha memberikan yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Ashwad berkata, pengiktirafan yang diterima mencerminkan matlamat RTM untuk menghasilkan kandungan berkualiti dan menarik bagi memenuhi keperluan penonton, pendengar serta masyarakat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, perkembangan teknologi penyiaran yang sentiasa berubah turut menjadi petunjuk kepada cabaran industri, sekali gus menguji keupayaan RTM untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.