Banjir : Bencana Tahap 1 diisytihar di Kampung Jalan Kebun, Klang

PPS di Dewan JPKK Kg Jalan Kebun dan Dewan Masjid An-Naim, Jalan Kebun dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas banjir/ Foto FB MPKK Kg Jalan Kebun

SHAH ALAM, 17 November – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengisytiharkan Bencana Tahap 1 susulan banjir yang melanda Kampung Jalan Kebun di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid An-Naim, Jalan Kebun dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.
  • Penduduk diminta berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama kepada agensi penyelamat.
  • Beberapa rumah dinaiki air sehingga paras lutut; penduduk mula berpindah dan pengguna media sosial berkongsi gambar serta video.

Pengisytiharan Bencana Tahap 1 merujuk kepada kejadian bencana yang boleh dikawal dan diuruskan oleh pihak berkuasa di peringkat daerah.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan bahawa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid An-Naim, Jalan Kebun, dibuka hari ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir.

“PPS berkenaan mula beroperasi hari ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas, selain memastikan keselamatan dan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.

“Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberikan kerjasama kepada agensi penyelamat,” menurut hantaran itu.

Tinjauan Bernama di Kampung Jalan Kebun Tambahan petang tadi mendapati beberapa rumah dinaiki air sehingga paras lutut, manakala penduduk yang terjejas mula berpindah ke PPS berkenaan.

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi gambar dan video yang memaparkan keadaan banjir di kawasan perumahan berkenaan, dengan air turut memasuki kediaman penduduk.

Bagaimanapun, maklumat terkini daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai situasi banjir serta jumlah penduduk yang terjejas masih belum diperoleh. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.