
KUALA LUMPUR, 17 November – Penantian 880 calon simpanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bakal berakhir apabila mereka akan ditawarkan pelantikan sebelum 14 Disember ini.
- Menteri mengarahkan KPM bertindak segera dan menyelaras dengan SPP untuk memastikan tawaran pelantikan disampaikan sebelum tarikh akhir.
- KPM memaklumkan 3,537 daripada 4,417 calon pengambilan 2025 telah menerima surat tawaran pelantikan.
- Penempatan dibuat selepas urusan pelantikan, mengambil kira kekosongan dan opsyen sesuai dan kenyataan diharapkan memberi kelegaan kepada calon.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini, susulan keresahan calon yang masih menantikan kepastian mengenai status pelantikan masing-masing menjelang tamat tempoh simpanan.
“Arahan sudah diberikan kepada pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengambil tindakan segera dan menyelaras urusan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan kesemua calon terbabit menerima tawaran pelantikan sebelum tarikh akhir berkenaan.
“Saya memahami bahawa penantian ini bukan perkara kecil, apatah lagi apabila ia melibatkan masa depan dan perancangan kehidupan mereka,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, KPM memaklumkan seramai 3,537 daripada keseluruhan 4,417 calon simpanan PPP pengambilan 2025 sudah ditawarkan surat pelantikan.
“KPM dan SPP telah mengadakan perbincangan bagi merungkai isu ini dan bersetuju agar baki 880 orang calon simpanan PPP ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh berkenaan,” jelas kenyataan itu hari ini.
KPM berkata, penempatan calon akan dilaksanakan selepas urusan pelantikan selesai dengan mengambil kira kekosongan tempat dan opsyen yang bersesuaian.
Fadhlina turut berharap perkhabaran itu dapat memberikan kelegaan kepada semua calon yang telah lama menantikan kepastian mengenai masa depan kerjaya mereka.