
KUALA LUMPUR, 17 November – Malaysia sedang mendapatkan sokongan kerajaan dan industri Perancis bagi merealisasikan projek Grid Tenaga ASEAN (APG), khususnya pembangunan rangkaian kabel dasar laut yang menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara-negara jiran.
- Projek Grid Tenaga ASEAN penting untuk kukuhkan bekalan tenaga serantau dan meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga ASEAN.
- Rangkaian sambungan termasuk kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung dan rangkaian darat melalui Laos.
- Pemimpin rantau bersetuju sambungan tenaga, Filipina mahu sambung Sabah manakala Indonesia terima bekalan dari Sarawak.
- Perancis komited memperkukuh hubungan, menyokong pelaburan, pemprosesan mineral kritikal serta pemindahan teknologi dan latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan penting dalam memperkukuh hubungan bekalan tenaga serantau, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga ASEAN.
Menurut beliau, antara projek strategik yang diberi perhatian ialah pembinaan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia sebelum bekalan tenaga disalurkan ke Singapura dan negara serantau lain.
“Satu projek yang amat penting bagi kami ialah kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, seterusnya ke Singapura dan negara-negara jiran.
“Projek ini penting dan kami memerlukan bantuan serta sokongan daripada kerajaan dan industri Perancis,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menjelaskan pembangunan Grid Tenaga ASEAN merangkumi beberapa laluan sambungan elektrik, termasuk dari Vietnam melalui kabel dasar laut ke utara Semenanjung Malaysia dan Singapura, selain rangkaian sambungan darat menerusi Laos.
“Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. turut menyatakan kesediaan untuk menyambungkan rangkaian tenaga dari Sabah ke selatan Filipina, manakala Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju menerima sebahagian bekalan tenaga dari Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Macron menegaskan komitmen Perancis untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan negara-negara Asia, termasuk Malaysia, selain menyokong usaha mempererat hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dengan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar turut menekankan potensi kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala, khususnya menerusi penglibatan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dengan syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies yang telah membawa kepada pelaburan besar di Asia, Afrika dan Amerika Utara.
Beliau berkata Malaysia turut mengeksport mineral kritikal mentah ke Perancis berikutan komitmen negara itu untuk bekerjasama dalam pemprosesan bahan berkenaan.
“Kami tidak mengeksport bahan mentah tetapi kami berbuat demikian dengan Perancis kerana anda komited dalam pemprosesannya dan bekerjasama dengan rakyat Malaysia sebagai satu pasukan,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan kepentingan kesediaan kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dikongsi bersama.
“Selepas beberapa dekad mencapai kemerdekaan, amat penting bagi negara untuk menunjukkan kesediaan bekerjasama dalam pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan supaya kita dapat memperoleh manfaat bersama serta saling menyokong,” katanya.
Macron tiba di Malaysia semalam bagi lawatan rasmi selama dua hari.
Beliau diberi sambutan rasmi di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Samad sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Datuk Seri Anwar.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi bidang kerjasama utama termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.