
KUALA LUMPUR, 17 November – Sehingga 30 September tahun ini, sebanyak 23 buah sekolah di negeri Pahang yang masih mempunyai bangunan dikategorikan sebagai skala 7.
- Kementerian meluluskan penggantian 13 sekolah sejak 2022 melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun.
- Daripada 13 projek: 5 siap, 4 pra pelaksanaan, 4 dalam pembinaan; projek pembinaan dilaksanakan oleh JKR.
- Projek utama: SK Batu Talam 96.61% dijangka siap hujung tahun; SMK Rompin 99.89% dijangka Januari 2027; SK Serandu dijangka Julai 2028.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan, daripada keseluruhan jumlah tersebut, kementeriannya telah meluluskan penggantian bangunan daif sebanyak 13 buah sekolah dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) sejak tahun 2022.
Manakala 10 buah sekolah lagi sedang dirancang secara berfasa melalui RMLT tertakluk kepada hasil penilaian teknikal, kebolehlaksanaan projek, dan ketersediaan peruntukan.
“Daripada 13 projek pembangunan semula bangunan daif yang saya sebut tadi, 5 Projek telah siap, 4 projek dalam fasa pra-pelaksanaan, dan 4 lagi dalam fasa pembinaan. Kesemua projek yang sedang dalam pembinaan ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
“Antara Projek yang sedang dilaksanakan termasuk SK Batu Talam, Raub yang telah diserahkan tapak pada 31 Mei 2024. Projek ini berjalan mengikut jadual dengan status kemajuan fizikal semasa telah mencapai 96.61 peratus dan dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.
Beliau turut memaklumkan, Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin pula menunjukkan kemajuan fizikal terkini 99.89 peratus berbanding jadual asal 59.52 peratus, dan dijangka siap pada pada bulan Januari 2027.
Manakala Sekolah Kebangsaan Bukit Mat Daling, Jerantut telah diberi milik tapak pada 17 Februari 2025.
Bagi pembinaan semula di Sekolah Kebangsaan Serandu, Pekan telah selesai proses perolehan dan dijangka siap pada bulan Julai 2028.
Penjelasan itu menjawab soalan wakil Temerloh, Salamiah Mohd Nor yang meminta kementerian menyatakan jumlah sekolah di Pahang yang masih dikategorikan sebagai sekolah daif, mengikut skala dan daerah, serta jumlah yang diluluskan untuk pembinaan semula atau naik taraf, termasuk status pelaksanaan dan sasaran penyelesaiannya.