Pemandu e-hailing perlu tingkat kesedaran terhadap perlindungan insurans – GEM

Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin, berkata perlindungan komprehensif serta perlindungan tambahan penting bagi melindungi aset pemandu daripada risiko kerosakan akibat banjir kilat, pokok tumbang dan cuaca buruk./ Foto JPM/ Grab

KUALA LUMPUR, 17 November – Pemandu e-hailing perlu memberi perhatian terhadap perlindungan insurans kenderaan, khususnya perlindungan tambahan bagi menghadapi risiko bencana alam ketika menjalankan perkhidmatan di jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu tidak harus mengetepikan perlindungan insurans semata-mata untuk mengurangkan kos operasi.
  • Perlindungan komprehensif dan tambahan penting untuk melindungi aset daripada kerosakan akibat banjir kilat, pokok tumbang dan cuaca buruk.
  • Model perlindungan fleksibel seperti insurans harian atau berdasarkan jarak boleh membantu urus kos dan sesuai dengan corak operasi pemandu.

Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berkata, pemandu tidak seharusnya mengetepikan perlindungan berkenaan hanya kerana mahu mengurangkan kos operasi.

Menurutnya, perlindungan komprehensif serta perlindungan tambahan penting bagi melindungi aset pemandu daripada risiko kerosakan akibat banjir kilat, pokok tumbang dan cuaca buruk.

“Sebagai individu yang beroperasi di jalan raya, kita perlu memastikan kenderaan mempunyai perlindungan mencukupi, termasuk bagi menghadapi risiko bencana alam.

“Saya berharap pemandu e-hailing tidak mengabaikan perlindungan tersebut hanya disebabkan kos tambahan sekitar RM30 hingga RM40 kerana ia penting untuk menjaga aset masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada Dialog Industri: Kos Pemanduan-Insurans E-Hailing, Akses Pasaran dan Ekonomi Gig Malaysia di sini, hari ini.

Dialog anjuran LEGASI Research itu menghimpunkan wakil pengendali perkhidmatan e-hailing termasuk inDrive, Maxim dan GV Ride serta GEM bagi membincangkan isu kemampuan mendapatkan perlindungan insurans dalam kalangan pemandu.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi memperkenalkan model perlindungan lebih fleksibel, termasuk insurans harian, berdasarkan jarak perjalanan atau penggunaan kenderaan.

Pendekatan itu dilihat sebagai antara pilihan untuk memenuhi keperluan pemandu e-hailing yang mempunyai corak dan tempoh operasi berbeza, selain membantu mengurus kos perlindungan insurans.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.