Lawatan Macron manifestasi persahabatan Malaysia dan Perancis

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah menyambut ketibaan Presiden Republik Perancis bersama isteri beliau, Emmanuel Macron dan Brigitte Macron di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia. 17 November 2026. / Foto Afiq Hambali, Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 17 November – Lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia disifatkan sebagai manifestasi hubungan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menghargai kesediaan Macron mendengar pandangan Malaysia mengenai isu antarabangsa dan perkembangan di Eropah.
  • Hubungan dua hala didukung persefahaman serta persahabatan erat antara pemimpin, bukan semata-mata kepentingan negara.
  • Perdagangan dua hala meningkat kepada €4.7 bilion pada 2025, menegaskan peranan Perancis sebagai rakan dagang penting Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan berkenaan tidak hanya berteraskan kepentingan dua hala, malah turut merangkumi persefahaman dalam membincangkan perkembangan di Eropah serta isu-isu antarabangsa.

Datuk Seri Anwar menghargai pendirian dan kesediaan Macron untuk mendengar pandangan Malaysia secara terbuka khususnya berkaitan isu antarabangsa.

“Untuk menerima kunjungan Presiden sebuah negara yang amat penting dan hebat selain mempunyai hubungan dua hala sangat rapat dengan Malaysia, merupakan satu penghormatan besar.

“Macron juga merupakan sahabat peribadi dan rakan pemimpin yang percayai, selain bersedia berkongsi pandangan bukan sahaja mengenai perkembangan di Eropah, malah turut menyentuh hal ehwal antarabangsa.

“Sudah tentu, saya amat berbesar hati dengan kehadiran beliau di sini. Seperti yang dapat dilihat, kita meletakkan kepentingan yang besar terhadap Perancis dan juga beliau secara peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Bersama – Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Perancis yang berlangsung di ibu negara.

Datuk Seri Anwar berkata hubungan yang terjalin tidak hanya berasaskan kepentingan antara negara, malah turut didukung persefahaman dan hubungan persahabatan antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Perancis merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah €4.7 bilion (kira-kira RM21.23 bilion) pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.