
PUTRAJAYA, 17 November – Kertas Putih mengenai persiapan Malaysia menuju negara tua bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini.
- Persiapan bukan sekadar kebajikan warga emas, tetapi merangkumi persediaan generasi akan datang dan perubahan struktur ekonomi serta masyarakat.
- Isu ini melangkaui politik dan generasi; ia isu kebangsaan untuk memastikan kesinambungan dan keseimbangan menghadapi perubahan demografi.
- Tempoh peralihan singkat sekitar 27 tahun, memerlukan tindakan awal bagi mengelakkan jurang antara generasi.
- Fokus termasuk peluang pekerjaan warga emas, potensi silver economy, ekonomi penjagaan, dan usaha menjadikan komuniti serta bandar mesra usia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia telah memasuki status negara menua pada 2021 dan dijangka menjadi negara tua pada 2048 sebelum mencapai tahap negara super aged pada 2060.
Beliau berkata persiapan menghadapi perubahan demografi itu tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut menguruskan kebajikan warga emas, sebaliknya perlu merangkumi persediaan generasi akan datang dalam menghadapi perubahan struktur ekonomi dan masyarakat.
“Isu ini melangkaui kedudukan politik. Isu ini melangkaui kedudukan generasi. Dia bukan isu generasi.
“Ini adalah isu kita sebagai sebuah negara hendak memastikan kita masih berupaya meneruskan negara kita yang ada ini dalam keadaan yang penuh, memastikan keseimbangan antara perubahan demografik yang ketara ini,” katanya ketika berucap semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata, tempoh peralihan Malaysia daripada negara menua kepada negara tua adalah agak singkat, iaitu sekitar 27 tahun, sekali gus memerlukan persediaan lebih awal bagi memastikan perubahan demografi itu tidak mewujudkan jurang antara generasi.
Akmal Nasrullah berkata, perubahan jumlah penduduk dan tenaga kerja pada masa hadapan turut memberi kesan kepada kapasiti ekonomi negara, termasuk keperluan memastikan warga emas bukan sekadar dapat meneruskan kehidupan, tetapi masih berupaya menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga sedang melihat potensi ekonomi yang boleh diwujudkan susulan perubahan demografi tersebut, termasuk melalui konsep silver economy.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah peluang pekerjaan untuk warga emas, peluang ekonomi berkaitan penuaan, ekonomi penjagaan serta usaha menjadikan komuniti dan bandar lebih mesra usia.