
KUALA LUMPUR, 16 November – Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang pada 5.3 peratus bagi suku ketiga 2026, selari dengan anggaran awal, dipacu momentum berterusan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan serta pertanian.
- Pertumbuhan disokong oleh sektor pembuatan, terutamanya E&E dan semikonduktor, didorong oleh permintaan global terhadap AI dan pusat data.
- Sektor perkhidmatan seperti pelancongan, peruncit dan kewangan kekal kukuh, disokong perbelanjaan domestik yang stabil.
- Risiko luaran termasuk keputusan Fed AS dan ketegangan geopolitik; perlu kekalkan pelaburan berkualiti dan disiplin fiskal.
Pensyarah Kanan Unikl Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan itu bersifat sederhana tetapi mampan memandangkan ia disokong oleh kepelbagaian sektor ekonomi, tanpa bergantung kepada perbelanjaan berlebihan atau peningkatan hutang kerajaan.
“Terdapat tiga faktor utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negara. Pertama, sektor pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik (E&E) termasuk semikonduktor. Ini didorong oleh permintaan global yang tinggi terhadap kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data.
“Kedua, sektor perkhidmatan seperti pelancongan, peruncit dan kewangan yang kekal kukuh, disokong oleh perbelanjaan domestik yang stabil.
“Ketiga, sektor pertanian yang kembali pulih selepas mengalami kelembapan pada awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, unjuran itu mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 5.1 peratus, meskipun lebih rendah berbanding pertumbuhan enam peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2026.
Mengulas prospek KDNK bagi suku keempat 2026, beliau berkata, momentum pertumbuhan perlu dikekalkan menerusi perbelanjaan domestik yang stabil, kemasukan pelaburan berkualiti dan disiplin fiskal yang berterusan.
“Cabaran yang perlu diberi perhatian ialah faktor luaran. Keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan ketegangan geopolitik dunia merupakan faktor di luar kawalan kita. Namun, selagi permintaan domestik kekal kukuh, kita mempunyai penampan yang baik,” jelasnya lagi.
Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi KDNK suku ketiga 2026 pada 18 November ini.