Penerima biasiswa Khazanah perlu sumbang kepada generasi akan datang

Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Kejayaan penerima biasiswa Yayasan Khazanah tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik dan kemajuan kerjaya semata-mata, sebaliknya turut diukur kemampuan mereka membuka lebih banyak peluang serta membawa perubahan positif kepada generasi seterusnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Biasiswa ialah kepercayaan; penerima mesti menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara.
  • Pembangunan modal insan perlu adil; bakat wujud di semua lapisan dan latar tidak harus jadi penghalang.
  • Pembangunan bakat mesti merangkumi kemanusiaan, seni dan pemikiran kritis serta membina kebolehan menyesuaikan diri dengan teknologi.

Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, biasiswa yang diberikan bukan sekadar ganjaran atas kecemerlangan seseorang, tetapi merupakan kepercayaan terhadap potensi individu berkenaan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan hanya akan mencapai impak lebih besar apabila penerimanya turut memainkan peranan membimbing generasi muda, berkongsi ilmu, mewujudkan peluang dan membantu mereka yang memerlukan sokongan.

“Biasiswa mampu mengubah kehidupan seseorang, namun impaknya menjadi jauh lebih besar apabila individu itu pula berupaya mengubah kehidupan orang lain.

“Ia boleh dilakukan melalui usaha membimbing pelajar lebih muda, berkongsi ilmu, mewujudkan peluang atau sekadar memberikan kata-kata semangat kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini.

Menurutnya, kejayaan Yayasan Khazanah sepanjang dua dekad lalu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah biasiswa yang diberikan atau pencapaian alumninya sahaja, tetapi juga sumbangan mereka dalam memperkukuh institusi, berkhidmat kepada masyarakat dan mewujudkan peluang kepada generasi akan datang.

Beliau berkata usaha membangunkan modal insan negara juga perlu mengambil kira hakikat bahawa bakat wujud di setiap lapisan masyarakat, namun peluang untuk mengembangkan potensi tidak semestinya tersedia secara sama rata.

Katanya, latar belakang dan keadaan hidup seseorang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada cita-cita serta potensi yang dimiliki.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan bakat negara tidak boleh tertumpu kepada bidang sains, kejuruteraan dan keusahawanan sahaja, sebaliknya perlu turut merangkumi bidang kemanusiaan, seni, sejarah dan pemikiran kritis.

Katanya, perubahan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) turut menuntut generasi masa depan memiliki keupayaan untuk terus belajar, berfikiran terbuka serta kebijaksanaan membuat keputusan berlandaskan nilai dan prinsip.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.