
KUALA LUMPUR, 16 November – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 iaitu meningkat 30 peratus berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
- Pendapatan suku ketiga meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion berbanding suku sama tahun lalu.
- Ekuiti kekal penyumbang terbesar dengan RM17.41 bilion atau 67 peratus daripada pendapatan suku ketiga.
- Pendapatan tetap menyumbang RM7.12 bilion, menyediakan kestabilan defensif; KWSP terus berdisiplin dan melabur dalam AI.
KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2026 juga meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi itu mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan yang pelbagai serta strategi mempercepatkan penjanaan pendapatan lebih awal.
“Kami menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang lebih sederhana pada suku ketiga, dan trend ini dijangka berterusan pada suku keempat berikutan kelemahan dalam pasaran ekuiti global dan peningkatan hasil dalam pasaran bon.
“Pada awal suku ini, risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, inflasi yang berterusan dan penilaian saham berkaitan AI semakin meningkat.
Perkembangan ini mendorong kami untuk terus berdisiplin dalam menguruskan portfolio, dengan mengimbangi peluang pelaburan dan risiko yang muncul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KWSP, pendapatan ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pendapatan sebanyak RM17.41 bilion pada suku ketiga 2026, meningkat tiga peratus berbanding RM16.95 bilion pada suku ketiga tahun lalu.
Jumlah itu merangkumi 67 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku berkenaan, disokong prestasi pasaran ekuiti global yang berdaya tahan serta pendapatan korporat yang kukuh.
Selain itu, pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI) dan keadaan ekonomi yang stabil turut memberi peluang kepada pengurus dana KWSP untuk menguruskan portfolio secara aktif serta menjana nilai.
Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM7.12 bilion atau 28 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, meskipun berdepan tekanan penilaian susulan peningkatan hasil dalam pasaran bon.
“Pelaburan pendapatan tetap terus menjana pendapatan yang berdaya tahan serta menyumbang kestabilan kepada keseluruhan portfolio.
“Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, kekal sebagai komponen defensif utama dalam portfolio dalam menghadapi turun naik pasaran,” jelasnya lagi.
Selain itu, hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.89 bilion pada suku ketiga 2026, manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.40 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.