
KOTA BHARU, 16 November – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 69 liter air ketum bernilai RM2,070 yang ditinggalkan di kawasan kebun getah di Kampung Siram, Jeram Perdah, Pasir Mas, semalam.
- Anggota PGA mengesan seorang individu mencurigakan berhampiran semak kira-kira pukul 3.30 petang.
- Suspek melarikan diri ke dalam semak apabila menyedari kehadiran anggota dan gagal dikesan.
- Pemeriksaan menemukan bekas polistirena berisi bungkusan plastik cecair kehijauan disyaki air ketum.
- Turut dirampas termos; barang diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas, disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Rampasan dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang selepas anggota PGA mengesan seorang individu dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan semak samun.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek melarikan diri ke dalam semak sebaik menyedari kehadiran anggota dan gagal dikesan.
“Pemeriksaan di kawasan itu kemudian menemukan sebuah bekas polistirena berwarna putih yang mengandungi 69 bungkusan plastik berisi cecair kehijauan disyaki air ketum.
“Turut dirampas sebuah termos dan bekas polistirena, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,100,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan.
Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.