
KOTA BHARU, 16 November – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 731 kilogram minyak masak dan 960 kilogram gula putih yang disimpan tanpa kebenaran di sebuah premis pemborong dan peruncit makanan sejuk beku di Kampung Baung, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
- Pemilik premis berusia 33 tahun ditahan kira-kira 4.30 petang.
- Pemeriksaan mendapati gagal mengemukakan dokumen berkaitan penyimpanan barang kawalan.
- Bekalan diperoleh daripada sebuah syarikat di Pasir Mas, diambil borong dua kali seminggu untuk dijual runcit dan borong.
- Kes dan barang rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan; disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Seorang lelaki berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis turut ditahan kira-kira 4.30 petang.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan penyimpanan barang kawalan berkenaan.
“Hasil soal siasat awal mendapati semua bekalan itu diperoleh daripada sebuah syarikat di Pasir Mas, Kelantan.
“Bekalan berkenaan diambil secara borong dua kali seminggu sebelum disimpan di sebuah stor kosong untuk dijual secara runcit dan borong kepada peruncit serta penduduk setempat,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4,563.50.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.