
KYIV, 16 November – Ukraine sedang mempersiap pertemuan bersama sekutu-sekutunya yang dikenali sebagai ‘Coalition of the Willing’ bagi menyelaras pendirian Eropah dalam rundingan menamatkan perang dengan Rusia.
- Zelensky menyeru pembentukan pendirian bersama Eropah yang kukuh untuk mencapai kemenangan.
- Pertemuan kumpulan Ramstein dijadual minggu depan; Zelensky mahu hasil nyata dan isyarat sokongan kuat kepada Ukraine.
- Rundingan kini tiga pihak: Ukraine, Rusia dan AS; Moscow mahu kecualikan Eropah, Zelensky mahu peluasan serta pengukuhan format.
- Rusia meningkatkan serangan terhadap grid elektrik menjelang musim sejuk; Dnipropetrovsk paling terjejas, ramai awam terputus bekalan elektrik.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata pertemuan itu penting dan berpotensi menjadi detik bersejarah dalam usaha menentukan pendirian bersama Eropah.
“Kami sedang mempersiapkan pertemuan Coalition of the Willing. Ia satu pertemuan penting dan berkemungkinan menjadi pertemuan bersejarah,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata gabungan itu berpeluang membentuk pendirian Eropah yang kukuh sepenuhnya bagi mencapai kemenangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Zelensky memaklumkan pertemuan kumpulan Ramstein, yang menghimpunkan negara-negara membantu menyokong pertahanan Ukraine, dijadual berlangsung minggu depan.
“Pertemuan itu perlu membuahkan hasil dan menghantar isyarat kuat kepada Rusia bahawa Ukraine tidak akan ditinggalkan tanpa sokongan,” katanya.
Eropah sebelum ini memilih lima negara, iaitu Perancis, Britain, Poland, Jerman dan Itali, untuk menghantar wakil dalam rundingan Ukraine pada masa depan.
Setakat ini, rundingan bagi menamatkan perang paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua berlangsung menerusi format Ukraine-Rusia-Amerika Syarikat (AS), dengan Moscow mahu mengecualikan negara Eropah daripada perbincangan.
Zelensky berkata format rundingan tiga pihak itu perlu diperluaskan bukan sahaja kepada empat pihak, malah diperkukuh dengan lebih ketara.
Sementara itu, beliau mendakwa Rusia meningkatkan serangan terhadap Ukraine menjelang musim sejuk, termasuk ketika rundingan berlangsung selama dua hari di Abu Dhabi minggu ini.
Menurut Zelensky, strategi terbaharu Moscow adalah menumpukan serangan selama beberapa hari terhadap satu wilayah tertentu, khususnya grid elektrik dan pencawang elektrik.
Beliau berkata wilayah Dnipropetrovsk di bahagian tengah Ukraine paling teruk terjejas sejak awal September.
Serangan berkenaan sering menyebabkan ribuan penduduk awam Ukraine terputus bekalan elektrik ketika suhu semakin menurun.
Usaha diplomatik yang didorong AS bagi menamatkan perang Rusia-Ukraine setakat ini masih belum mencapai kejayaan, ketika konflik berkenaan berlanjutan memasuki satu lagi musim sejuk.-AFP