
PHNOM PENH, 16 November – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyambut baik hubungan unik dengan Kemboja.
- Macron mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, di Phnom Penh.
- Phnom Penh menjadi hos sidang kemuncak OIF dua hari bagi membincangkan kerjasama ekonomi dan kebudayaan.
- DR Congo mengancam menarik diri daripada OIF jika Louise Mushikiwabo dicalonkan semula, menuduh Rwanda menyokong kumpulan bersenjata M23.
Macron menyatakan perkara itu ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di sini pada Ahad.
Lawatan berkenaan merupakan kunjungan pertama Presiden Perancis ke Kemboja sejak 1993.
Pertemuan tersebut berlangsung ketika Phnom Penh menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Antarabangsa Francophonie (OIF) selama dua hari, yang menghimpunkan pemimpin negara anggota bagi membincangkan kerjasama ekonomi dan kebudayaan.
Dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak itu, Macron turut menggesa negara anggota mengekalkan perpaduan organisasi berkenaan ketika berdepan ketegangan dalaman.
“Pembesaran OIF memerlukan kita membina konsensus bagi memelihara kesatuan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa perpecahan dalaman boleh menjejaskan kekuatan organisasi yang menghimpunkan kira-kira 90 negara dan kerajaan, termasuk 53 anggota penuh.
Sidang kemuncak itu turut berlangsung ketika pertikaian mengenai pemilihan ketua baharu OIF, apabila Republik Demokratik Congo (DR Congo) mengancam menarik diri sekiranya penyandang jawatan, Louise Mushikiwabo dari Rwanda dipilih semula untuk penggal ketiga.
Kinshasa menentang pencalonan semula Mushikiwabo susulan tuduhan bahawa Rwanda menyokong kumpulan bersenjata M23 di wilayah DR Congo, dakwaan yang dinafikan Kigali.
DR Congo merupakan negara kedua terbesar penutur bahasa Perancis dengan kira-kira 57.3 juta penutur, menurut data OIF.-AFP