
KUALA LUMPUR, 15 November – Perusahaan sosial tempatan, Kloth Circularity, mencipta kejayaan di peringkat serantau apabila muncul antara tiga penerima Anugerah Bio-Circular-Green (BCG) APEC 2026.
- Kloth Circularity mengubah tekstil terpakai menjadi produk bernilai ekonomi sambil mengurangkan sisa tekstil.
- Program latihan menjahit dan kitar semula kreatif memperkasakan wanita komuniti kurang akses, membantu mereka menjana pendapatan.
- Mereka menggandingkan perniagaan, komuniti dan penggubal dasar untuk memajukan ekonomi kitaran dan kukuhkan rantaian nilai tempatan.
- Anugerah BCG APEC mengiktiraf inovasi menukar sisa kepada sumber ekonomi bagi menyokong pembangunan ekonomi mampan.
Pengiktirafan itu diberikan atas usaha perusahaan berkenaan mengubah tekstil terpakai kepada produk baharu yang mempunyai nilai ekonomi, di samping memperkasa komuniti menerusi pembangunan kemahiran dan peluang menjana pendapatan.
Menurut kenyataan Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Kloth Circularity mengumpul tekstil yang tidak lagi digunakan untuk diproses menjadi produk baharu.
Inisiatif itu turut merangkumi latihan menjahit dan kitar semula kreatif kepada wanita daripada komuniti kurang mendapat akses kepada peluang pembangunan kemahiran, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.
Pengasas Bersama Kloth Circularity, Sarah Kedah berkata, pihaknya berharap inisiatif berkenaan dapat memperlihatkan bagaimana pendekatan ekonomi kitaran mampu mewujudkan sumber pendapatan, memperkukuh rantaian nilai tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu.
“Usaha ini tidak boleh dicapai oleh satu organisasi sahaja. Sebab itu, kami menggembleng perniagaan, komuniti dan penggubal dasar untuk menjayakannya secara bersama,” katanya menurut kenyataan.
Kloth Circularity menerima pengiktirafan itu bersama dua perusahaan lain, iaitu Feeding Hong Kong dari Hong Kong, China dan Plana dari Indonesia, atas pendekatan inovatif mereka dalam menukar sisa kepada sumber ekonomi.
Dalam pada itu, Feeding Hong Kong diiktiraf atas usaha mengumpul lebihan makanan daripada sektor perniagaan sebelum mengagihkannya kepada golongan memerlukan menerusi badan kebajikan.
Sejak ditubuhkan pada 2011, organisasi itu telah menyelamatkan lebih 10,000 tan makanan, sekali gus membantu menyediakan 32 juta hidangan.
Selain itu, Plana dari Indonesia menerima pengiktirafan menerusi inovasi mengubah sekam padi dan sisa plastik kepada bahan alternatif yang tahan lasak bagi menggantikan kayu semula jadi dalam pembuatan perabot dan sektor pembinaan.
Inisiatif itu turut menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada petani dan pengumpul sisa melalui pembelian hasil sampingan pertanian serta sisa plastik.
Ketiga-tiga penerima anugerah diumumkan pada Mesyuarat Pegawai Kanan APEC di Shenzhen, China, pada Sabtu.
Anugerah BCG APEC mengiktiraf perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mengamalkan model perniagaan selaras dengan Matlamat Bangkok mengenai Ekonomi Bio-Kitaran-Hijau (BCG), yang diterima pakai pemimpin ekonomi APEC pada 2022.
Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Eduardo Pedrosa berkata, PMKS merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di rantau ini, sekali gus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi mampan.
“Peranan APEC adalah untuk membantu idea mereka menembusi lebih banyak pasaran dan mencapai lebih banyak komuniti,” katanya