
KUALA LUMPUR, 15 November – Skuad Harimau Malaya Bawah 16 Tahun (B-16) tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan 2-1 ke atas Singapura, sebaliknya perlu segera mengalihkan tumpuan kepada pertemuan menentang Guam dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2027.
- Shukor mengingatkan agar tidak memandang rendah kemampuan Guam walaupun mereka dilihat lemah berdasarkan keputusan sebelum ini.
- Jurulatih tidak mahu memberi tekanan kepada pemain untuk menjaringkan banyak gol.
- Pasukan akan merancang strategi dan bermain mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
- Kemenangan penting hidupkan peluang Malaysia; pemain tunjuk semangat juang tinggi sehingga gol kemenangan lewat perlawanan.
Ketua Jurulatih, Shukor Adan berkata, pasukannya tidak akan memandang rendah kemampuan Guam meskipun lawan itu mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
“Kami tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada pemain untuk menjaringkan gol yang banyak. Kami juga tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan Guam.
“Apa yang paling penting, kami akan merancang strategi untuk menghadapi Guam dan bermain seperti biasa mengikut segala perancangan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Mengulas kemenangan ke atas Singapura, Shukor menyifatkan kemenangan pertama dalam Kumpulan E itu penting bagi menghidupkan peluang Malaysia untuk meneruskan saingan selepas kekalahan kepada Palestin pada aksi pembukaan.
Menurutnya, kejayaan meraih tiga mata berkenaan membuktikan semangat juang tinggi barisan pemain yang terus berusaha sehingga berjaya menghasilkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.
“Kita dapat lihat bahawa dari minit pertama hingga minit terakhir, mereka terus mencuba dan tidak berputus asa sehingga akhirnya berjaya,” katanya selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Dalam aksi berkenaan, Malaysia mendahului menerusi jaringan Syaifullah Mahruzi pada minit ke-33 sebelum Izzan Rifqi Farid menyamakan kedudukan buat Singapura pada masa kecederaan babak pertama.
Fahim Akmal Zulkarnain kemudian memastikan tiga mata menjadi milik skuad negara menerusi gol kemenangan pada minit ke-89.
Keputusan itu meletakkan Malaysia di tangga keempat Kumpulan E dengan tiga mata daripada dua perlawanan, di belakang India dan Palestin yang masing-masing mengumpul enam mata, serta Singapura di tempat ketiga dengan tiga mata.
Skuad negara dijadual menentang Guam pada 17 November, pukul 9 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.