
BUKIT KAYU HITAM, 12 November – Sebanyak 430 kilogram (kg) pelbagai jenis produk makanan yang disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah menggunakan sebuah bas ekspres dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam.
- Produk makanan disorok dalam ruang audio kenderaan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
- Kesemua produk tiada label dan tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.
- Pihak berkuasa akan mempertingkatkan kawalan sempadan dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusuf dalam kenyataan memaklumkan, rampasan tersebut dilakukan AKPS dalam Operasi Harian yang dijalankan di hadapan Blok B, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai jenis makanan termasuk sosej dan mi Thai (Thai Noodles) telah disorokkan di dalam ruang audio bas ekspres berkenaan bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.
“Pemeriksaan mendapati kesemua produk makanan tersebut tidak mempunyai label dan tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.
“Jumlah rampasan melibatkan 430 kilogram makanan melibatkan anggaran nilai sebanyak RM2,375. AKPS akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan serta mempergiat pelaksanaan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan,” menurut kenyataan itu.
Sebarang cubaan membawa masuk barangan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi, dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjamin keselamatan serta kepentingan negara.