
KUALA LUMPUR, 14 November – Seramai 96,844 warga asing ditangkap kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kes jenayah di Malaysia bagi tempoh 2024 hingga September tahun ini.
- PDRM akan terus bertindak tegas terhadap jenayah tanpa mengira kewarganegaraan individu.
- Statistik JSJ merekodkan 33,136 tangkapan pada 2024, meningkat 10.9 peratus kepada 36,740, dan 26,968 tangkapan Jan hingga Sept.
- Penguatkuasaan diperkukuh melalui kerjasama agensi kerajaan, operasi bersepadu dan perkongsian risikan.
- PDRM menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pencegahan jenayah dan memelihara keselamatan awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mendedahkan, sebanyak 33,136 tangkapan dibuat pada 2024 sebelum meningkat 10.9 peratus kepada 36,740 tangkapan pada tahun berikutnya.
Statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut merekodkan 26,968 tangkapan lagi bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan jenayah tanpa mengira kewarganegaraan individu yang terlibat.
“PDRM berpegang teguh kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
“Setiap individu tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan adalah tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, penguatkuasaan itu akan diperkukuh melalui kerjasama dengan agensi kerajaan lain, termasuk pelaksanaan operasi bersepadu dan perkongsian risikan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani mengikut peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, PDRM menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pencegahan jenayah.
Kerjasama masyarakat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.