
KUALA LUMPUR, 12 November – Taktik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis Taiwan terbongkar apabila polis menumpaskan operasi pusat panggilan atau ‘call centre’ menerusi serbuan di sebuah chalet di Bentong, Pahang pada 5 November lalu.
- 14 individu ditahan dalam operasi susulan, membabitkan dua warga tempatan dan 12 warga Taiwan.
- 170 barang kes dirampas termasuk 69 telefon bimbit, 70 kad SIM, komputer riba, tablet serta vest dan topi berlogo polis Taiwan.
- Op Magpie berjaya: 153 serbuan, 932 tangkapan termasuk 826 warga asing, dan penumpasan 112 sindiket.
- Kes jenayah komersil meningkat 6% kepada 64,951, kerugian naik kepada RM5.25 bilion; siasatan diteruskan untuk kenal pasti dalang utama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 14 individu ditahan dalam operasi susulan pada 6 November, membabitkan dua warga tempatan dan 12 warga Taiwan.
Sebanyak 170 barang kes turut dirampas, termasuk 69 telefon bimbit, 70 kad SIM, komputer riba, tablet serta vest dan topi berlogo polis Taiwan.
“Ketika ini, JSJK sedang meneliti keterangan individu yang ditahan, analisis peranti digital, rekod komunikasi, transaksi kewangan serta bahan bukti yang dirampas bagi menentukan peranan dan tahap penglibatan setiap individu.
“Sehubungan itu, sebarang kesimpulan berhubung identiti dalang utama atau hubungan antara sindiket hanya dapat dibuat berdasarkan bukti yang diperoleh sepanjang proses siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan merupakan antara kejayaan menerusi Op Magpie yang dilaksanakan dari 19 hingga 31 Oktober lalu.
Operasi bersepadu itu menyaksikan sebanyak 153 serbuan dilaksanakan, melepasi sasaran awal 100 serbuan, selain membawa kepada penahanan 932 individu termasuk 826 warga asing serta penumpasan 112 sindiket.
Daripada jumlah tangkapan, seramai 809 individu dikenal pasti berperanan sebagai operator atau khidmat pelanggan, manakala 70 lagi bertindak sebagai penyelia atau ketua kumpulan.
Dalam operasi sama, JSJK turut merampas lebih 2,000 telefon bimbit, 433 komputer riba dan tablet serta 161 komputer, selain membuka 117 kertas siasatan.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dalang utama, termasuk rangkaian kewangan serta individu yang menyediakan kemudahan operasi kepada sindiket berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Rusdi memaklumkan jumlah kes jenayah komersil meningkat enam peratus kepada 64,951 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 berbanding 61,538 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah kerugian turut meningkat kepada RM5.25 bilion berbanding RM4.01 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, bagi enam modus operandi utama penipuan dalam talian, jumlah kerugian mencatatkan penurunan 28 peratus kepada RM1.56 bilion meskipun jumlah kes meningkat empat peratus kepada 56,802 kes.
Dari segi penguatkuasaan, jumlah tangkapan meningkat hampir 16 peratus kepada 29,479 individu, manakala jumlah pertuduhan melonjak 52 peratus kepada 21,342.