
KOTA BHARU, 12 November – Seramai 73 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai bangsa berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menerusi operasi yang dijalankan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.
- Kejayaan operasi menunjukkan komitmen pegawai dan anggota PPM Wilayah Tiga.
- Penguatkuasaan dipertingkatkan, fokus pada perairan dan laluan sempadan berisiko.
- Aset Pangkalan Polis Marin Tok Bali digerakkan untuk operasi, bertugas 24 jam.
- Pasukan simpanan khas disediakan bagi tangani jenayah rentas sempadan semasa Monsun Timur Laut.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, kejayaan itu menunjukkan kesungguhan yang lakukan pegawai dan anggota PPM Wilayah Tiga dalam usaha mengekang pencerobohan PATI ke negara ini.
“Setakat ini PPM Wilayah Tiga telah menahan seramai 73 PATI daripada pelbagai negara menerusi 20 kes di bawah Akta Imigresen dan satu kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai serta anggota PPM Wilayah Tiga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melaksanakan tinjauan di sepanjang Sungai Kelantan, di sini hari ini.
Usaha membanteras kegiatan penyeludupan migran terus dipertingkatkan menerusi pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara berterusan, khususnya di kawasan perairan dan laluan sempadan yang dikenal pasti berisiko.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khairuddin berkata, aset-aset dari Pangkalan Polis Marin Tok Bali, Pasir Puteh juga telah digerakkan bagi membantu pelaksanaan operasi di beberapa lokasi dikenal pasti dengan penugasan 24 jam.
Bagi penugasan dan operasi darat, pihak telah mengatur gerak kekuatan anggota dari Markas Wilayah Tiga Kuantan, Pahang untuk membantu.
Mengulas mengenai kemungkinan sempadan bolos ketika Monsun Timur Laut (MTL), beliau memaklumkan bahawa ada pasukan simpanan khas untuk menangani sebarang jenayah berkaitan rentas sempadan.
Tidak semua pegawai dan anggota PPM Wilayah Tiga terlibat dengan MTL dan pihaknya telah merancang serta bahagikan kekuatan anggota.