
KUALA LUMPUR, 11 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan rangkaian bekalan dadah yang dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan 102.19 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM5 juta yang dirampas pihak berkuasa Brunei bulan lalu.
- Kes melibatkan seorang lelaki Malaysia dipercayai membawa dadah dari Sarawak ke Sabah melalui Brunei.
- Suspek ditahan pihak berkuasa Brunei di Pos Kawalan Sungai Tujoh sempadan Brunei-Miri.
- PDRM menunggu hasil siasatan Brunei setelah maklumat dikongsi bagi tindakan susulan JSJN.
- Dadah disembunyikan dalam 100 bungkusan teh, rampasan terbesar pernah direkod di pos kawalan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes berkenaan membabitkan seorang lelaki warga Malaysia yang dipercayai membawa dadah dari Sarawak ke Sabah dengan melalui Brunei.
Menurutnya, suspek ditahan pihak berkuasa Brunei ketika pemeriksaan di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak.
Beliau berkata, PDRM kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa Brunei yang turut berkongsi beberapa maklumat bagi membolehkan JSJN menjalankan tindakan susulan.
“Kita telah dimaklumkan tangkapan itu melibatkan seorang iaitu dadah berkenaan dipercayai dibawa dari Sarawak ke Sabah melalui Brunei.
“Kita sedang menunggu siasatan pihak Brunei dan mereka telah berkongsi beberapa maklumat dengan kita untuk tindakan susulan pihak JSJN, termasuk mengenal pasti dari mana dadah itu diperoleh serta individu lain yang terbabit dalam rangkaian berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan Bahagian Risikan dan Operasi JSJN di sini, hari ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa Brunei merampas sebanyak 102.19kg syabu yang disembunyikan dalam 100 bungkusan teh di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sekali gus jumlah rampasan terbesar pernah direkodkan di pos kawalan berkenaan.