Hasina berdepan hukuman mati jika kembali ke Bangladesh

Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina / Foto AFP

DHAKA, 10 November – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina bakal berdepan pelaksanaan hukuman mati sekiranya kembali ke negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendakwa raya: Hasina tiada ruang untuk rayuan selepas tempoh undang-undang tamat.
  • Hasina kini dalam buangan di India sejak melarikan diri pada Ogos 2024.
  • Mahkamah Dhaka November 2025 menjatuhkan hukuman mati secara absentia atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
  • Kerajaan mohon ekstradisi dari India; permohonan masih dalam penelitian manakala kepulangan berisiko cetus ketegangan politik.

Pendakwa raya Bangladesh, Md Aminul Islam berkata Hasina tidak lagi mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan selepas tempoh yang ditetapkan undang-undang berakhir.

“Hasina tiada pilihan selain berdepan pelaksanaan hukuman itu,” katanya.

Hasina, 79, kini berada dalam buangan di India sejak melarikan diri pada Ogos 2024.

Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali ke Bangladesh pada Disember ini meskipun menyedari risiko berdepan hukuman gantung.

Pada November 2025, sebuah mahkamah di Dhaka menjatuhkan hukuman mati terhadapnya secara absentia (ketidakhadiran) selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.

Tiga pertuduhan jenayah tersebut termasuk menghasut, mengarahkan pembunuhan dan gagal menghalang kekejaman ketika tindakan keras terhadap kebangkitan diketuai pelajar.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang terkorban dalam tindakan keras berkenaan.

Sementara itu, kerajaan Bangladesh sudah mengemukakan permohonan ekstradisi kepada India bagi membawa pulang Hasina untuk menjalani proses undang-undang, namun New Delhi memaklumkan permohonan itu masih dalam penelitian.

Pendakwa raya turut menasihatkan Hasina supaya mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa India bagi memudahkan kepulangannya menerusi perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara.

Hasrat kepulangan Hasina turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan ketegangan politik baharu, ketika sebahagian rakyat mahu beliau menjalani hukuman mati, manakala pihak lain bimbang kepulangannya boleh menggerakkan semula penyokongnya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.