
SHAH ALAM, 10 November- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya umat Islam menyalurkan dana umat Islam termasuk sumbangan, infak dan fidyah kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau pihak berautoriti yang diiktiraf majlis agama negeri bagi memastikan tadbir urus yang baik.
- Mengingatkan tentang pengumpulan tidak sah dan penyelewengan dana umat oleh pihak tertentu; tindakan ini memalukan dan merugikan umat Islam.
- Menegaskan MAIS dan majlis agama negeri sebagai pemegang amanah tunggal Baitulmal; pengurusan mesti telus, cekap, profesional dan mematuhi hukum syarak.
- Baitulmal mesti bukan sekadar kutip harta tetapi membangunkan kekayaan melalui kerjasama strategik dengan perbankan Islam dan pengurusan kehartaan.
- Perlu pemerkasaan undang-undang pusaka Islam dan penyelesaian pertindihan bidang kuasa sivil dan syariah bagi mengalirkan semula harta pusaka.
Sultan Sharafuddin bertitah ia susulan perkembangan semasa yang menyaksikan peningkatan kemunculan syarikat, institusi, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat kutipan atau menguruskan harta umat Islam.
“Malangnya, terdapat sebahagian besar daripada pihak membuat kutipan ini tidak dilantik secara sah oleh pihak berautoriti seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis agama Islam negeri-negeri.
“Beta amat sedih kerana terdapat sebahagian daripada pihak-pihak ini terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip dan menggunakan dana itu bagi kepentingan peribadi. Perkara ini amat memalukan dan sangat merugikan umat Islam,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah demikian menerusi kenyataan dikeluarkan sempena Konvensyen Baitulmal Nusantara (KBN) 2026 anjuran MAIS di sini hari ini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berangkat mewakili Sultan Sharafuddin bagi menyempurnakan perasmian konvensyen bertemakan “Memperkasa Amanah, Membangun Kekayaan, Memakmur Ummah” itu.
Sultan Sharafuddin bertitah di Malaysia, majlis agama Islam negeri adalah pihak berautoriti dan pemegang amanah tunggal bagi Baitulmal di negeri selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di setiap negeri, Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Baginda bertitah sebagai pemegang amanah dana umat Islam, majlis agama Islam, khususnya MAIS perlu memastikan pengurusan harta Baitulmal dilaksanakan secara telus, cekap dan profesional serta mematuhi hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tadbir urus Baitulmal mesti sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Dana umat Islam hendaklah diurus, diagihkan, dikembangkan dan dimanfaatkan bagi menjaga maslahah dan kepentingan umat Islam,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah peranan Baitulmal tidak boleh hanya dilihat sebagai institusi yang mengutip harta umat, malah perlu menjadi institusi yang mampu membangunkan kekayaan umat Islam.
Dalam usaha memacu Baitulmal, baginda bertitah MAIS dan majlis agama Islam negeri tidak boleh bergerak bersendirian, sebaliknya perlu mempertingkatkan kerjasama strategik dengan rakan korporat seperti institusi perbankan serta kewangan Islam dan syarikat pengurusan kehartaan Islam.
Langkah itu bagi membolehkan MAIS dan majlis agama Islam negeri meningkatkan nilai aset Baitulmal termasuk membangunkan aset komersial berimpak tinggi yang mampu menjana pulangan untuk ummah.
“Selanjutnya, bantuan dan sokongan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga sangat penting dalam menyokong agenda memperkasakan Baitulmal. Pemerkasaan undang-undang berkaitan pengurusan harta Islam seperti undang-undang pusaka Islam hendaklah disegerakan untuk menyelesaikan isu semasa.
“Isu pertindihan bidang kuasa sivil dan syariah juga perlu diatasi. Semua ini perlu dilaksanakan segera agar harta pusaka beku masyarakat Islam dapat diselesaikan dan dialirkan semula dalam kitaran ekonomi ummah,” titah baginda.
KBN 2026 menjadi platform strategik menghimpunkan ahli akademik, penggubal dasar dan pengamal industri bagi menimba pengetahuan, meneroka perkembangan semasa serta membincangkan cabaran dan peluang memperkukuh institusi Baitulmal dan pengurusan harta Islam di rantau ini.
Konvensyen itu menghimpunkan 400 peserta daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk pembentang dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand yang mencerminkan kepentingan kerjasama rentas negara dalam memperkasakan ekosistem pengurusan harta Islam.