
BALING, 10 November – Empat rumah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Lima, Pekan Parit Panjang, Baling, Kedah, malam tadi.
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
- Panggilan kecemasan melalui sistem NG999 diterima pada pukul 7.48 malam.
- Dua kedai musnah kira-kira 80 peratus; dua lagi musnah antara 50 hingga 60 peratus.
- Operasi guna empat aliran hos 200 kaki dan enam pancutan, bantuan PBS; api dipadam 8.22 malam, operasi tamat 12.20 tengah malam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, PPgB Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG 999 berkaitan kejadian kebakaran melibatkan kedai pada pukul 7.48 malam.
Beberapa buah jentera dari BBP Baling dan Sik kemudian diarah ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, kebakaran melibatkan empat buah kedai kelas B berkeluasan 20 kaki kali 70 kaki setiap sebuah.
“Dua buah kedai musnah kira-kira 80 peratus, manakala dua lagi premis masing-masing musnah antara 50 hingga 60 peratus..” Katanya dalam kenyataan disini.
Operasi pemadaman menggunakan 4 aliran hos 200 kaki dengan 6 pancutan, menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba dan turut dibantu beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
Api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 8.22 malam dan operasi tamat pada pukul 12.20 tengah malam.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.