
KUALA LUMPUR, 10 November – Pelabur asing meneruskan pembelian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM381.3 juta.
- Pelabur asing menjadi pembeli bersih setiap lima hari dagangan, mencerminkan minat berterusan terhadap pasaran saham tempatan.
- Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Selasa, diikuti Isnin, Khamis, Jumaat dan Rabu.
- Sektor perkhidmatan kewangan merekodkan pembelian bersih asing tertinggi, diikuti pengangkutan dan pembinaan.
- Institusi tempatan catat jualan bersih; pelabur runcit beli bersih; ADTV meningkat merentas semua kategori.
MBSB Research berkata, pelabur asing menjadi pembeli bersih untuk kesemua lima hari dagangan minggu berkenaan, mencerminkan minat berterusan terhadap pasaran saham tempatan.
“Aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Selasa sebanyak RM152.4 juta, diikuti Isnin (RM102.5 juta), Khamis (RM55 juta), Jumaat (RM40.6 juta) dan Rabu (RM30.8 juta).
Dari segi sektor, perkhidmatan kewangan mencatatkan pembelian bersih asing tertinggi sebanyak RM249.5 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM199.8 juta) serta pembinaan (RM191.4 juta).
“Sektor teknologi merekodkan aliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM221.5 juta, diikuti perladangan (RM126.7 juta) dan produk serta perkhidmatan perindustrian (RM59.8 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana Mingguan berakhir 6 November 2026, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan meneruskan aktivit jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar berjumlah RM621 juta.
Pelabur runcit pula mengekalkan aktiviti pembelian bersih untuk minggu ke-11 berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak RM239.7 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) turut mencatatkan peningkatan merentas semua kategori pelabur, dengan pelabur runcit meningkat 5.6 peratus, institusi tempatan sebanyak 17.6 peratus dan institusi asing sebanyak 16.8 peratus.