
KUALA LUMPUR, 10 November – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa dalam keadaan sentimen pasaran yang berhati-hati berikutan pelabur terus menilai perkembangan ekonomi global dan prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
- Sentimen pasaran berhati-hati; pelabur terus menilai ekonomi global dan prospek kadar faedah AS.
- Pelabur memantau data inflasi AS; bacaan rendah boleh menekan hasil Perbendaharaan dan dolar, menyokong ringgit.
- Harga minyak Brent susut selepas petunjuk Presiden AS mengenai kemungkinan berakhir perang dengan Iran, meredakan kebimbangan bekalan.
- BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, indikator domestik dijangka memberi asas stabil bagi ringgit.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 4.0550/0610 berbanding dolar AS daripada 4.0565/0610 semasa ditutup pada Jumaat.
Pasaran ditutup pada Isnin berikutan cuti gantian Deepavali.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur akan memantau dengan teliti data inflasi AS yang akan dikeluarkan tidak lama lagi memandangkan bacaan inflasi yang lebih rendah boleh memberi tekanan kepada hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS, yang menyediakan sokongan kepada ringgit.
Sementara itu, beliau berkata harga minyak mentah Brent susut 5.85 peratus kepada US$92.57 setong susulan petunjuk daripada Presiden AS Donald Trump bahawa perang dengan Iran mungkin berakhir, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan.
“Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.61 peratus kepada 101.679 susulan perkembangan itu,” katanya.
Mengenai perkembangan domestik, Mohd Afzanizam berkata petunjuk ekonomi Malaysia, bersama-sama keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, dijangka menyediakan asas yang stabil bagi ringgit.
“Ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS berikutan sentimen pasaran dilihat bertambah baik.
“Ringgit dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4.05 hingga RM4.06 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5666/5704 daripada 2.5616/5646 semasa ditutup Jumaat lepas, merosot berbanding euro kepada 4.5505/5573 daripada 4.5315/5365 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4499/4580 daripada 5.4304/4365 sebelum ini.
Prestasi ringgit pula bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1704/1756 daripada 3.1657/1694 semasa ditutup sebelumnya dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.1367/1641 daripada 12.0898/1105.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 224.2/224.6 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.42 daripada 6.43/6.44 semasa ditutup Jumaat lepas. – BERNAMA.