Naib Canselor UPM terima anugerah khas Kyutech

Prof. Dr. Takuo Yasunaga menyampaikan Distinguished Contribution to Collaboration Award kepada Prof. Dr. Arifin Abdu

FUKUOKA, 10 November – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Arifin Abdu, menerima anugerah Distinguished Contribution to Collaboration Award daripada Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama pendidikan, penyelidikan dan inovasi antara kedua-dua universiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan dianggap hasil komitmen dan usaha bersama warga kedua-dua universiti, mencerminkan persahabatan dan kerjasama akademik yang berkekalan.
  • Hubungan strategik akan diperluas melalui pendekatan RDICE untuk memastikan hasil penyelidikan dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.
  • Bidang berpotensi meliputi pertanian pintar, kecerdasan buatan, aeroangkasa, bioteknologi, sains makanan, perubatan, veterinar, teknologi hijau dan bahan termaju.
  • Cadangan pembangunan UPM Kyutech Joint Sandbox dan kerjasama aeroangkasa untuk dron autonomi serta satelit kecil bagi ujian, pengkomersialan dan pengukuhan bakat.

Prof. Dr. Arifin menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai hasil komitmen dan usaha bersama warga kedua-dua universiti dalam membina hubungan akademik yang berterusan.

“Saya melihat anugerah ini bukan semata-mata sebagai pencapaian peribadi, tetapi sebagai cerminan persahabatan yang berkekalan dan hubungan kerjasama erat antara UPM dengan
Kyutech,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah Distinguished Contribution to Collaboration Award daripada yang disampaikan oleh Presiden Kyutech, Prof. Dr. Takuo Yasunaga di sini.

Dalam pada itu beliau berharap hubungan strategik kedua-dua universiti dapat diperluas melalui pendekatan penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan (RDICE) bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan industri dan masyarakat.

Antara bidang yang berpotensi diteroka termasuk pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan aeroangkasa, bioteknologi, sains makanan, perubatan, kesihatan, perubatan veterinar, teknologi hijau dan bahan termaju.

Kedua-dua universiti juga berpotensi membangunkan UPM–Kyutech Joint Sandbox sebagai platform pengujian teknologi dalam persekitaran sebenar sebelum diperkenalkan kepada industri atau dikomersialkan.

Sementara itu dalam bidang aeroangkasa pula, kerjasama berpotensi diperluas kepada pembangunan dron autonomi berasaskan AI untuk pemantauan keselamatan, pengawasan sempadan dan
pengurusan bencana dengan memanfaatkan pengalaman UPM membangunkan dron PUTRAUAV menggunakan bahan komposit gentian semula jadi.

UPM dan Kyutech turut berpeluang meneroka pembangunan satelit kecil, sistem komunikasi dan teknologi penderiaan jauh, termasuk pengujian satelit secara bersama dengan agensi
angkasa serta rakan industri.

Gabungan kepakaran kedua-dua universiti dijangka membuka lebih banyak peluang penyelidikan, pembangunan bakat dan pengkomersialan teknologi, sekali gus memperkukuh kerjasama pendidikan dan inovasi antara Malaysia dengan Jepun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.