
KOTA BHARU, 9 November – Proses pengagihan bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke pangkalan hadapan di daerah berisiko banjir di Kelantan telah selesai dilaksanakan sejak bulan lalu.
- Sebanyak 451 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti di seluruh negeri.
- Jumlah RM4.5 juta dibelanjakan untuk keperluan asas; RM3.5 juta daripada Persekutuan, selebihnya daripada kerajaan negeri.
- Sebanyak 127 pembekal dilantik di seluruh daerah untuk memastikan rantaian bekalan tidak terputus semasa bencana.
- JKM mewajibkan 10 tukang masak di setiap PPS mendapatkan suntikan vaksin tifoid sebelum memulakan tugas.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, persediaan awal di lakukan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan, dengan tumpuan di berikan melibatkan beberapa jajahan termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, dan Gua Musang.
Beliau berkata sebanyak 451 PPS sudah dikenal pasti di seluruh negeri.
Pada masa sama, sebanyak RM4.5 juta dibelanjakan untuk barangan keperluan asas serta penyediaan makanan dan minuman penduduk terjejas.
Daripada jumlah itu, RM3.5 juta diterima daripada Kerajaan Persekutuan manakala selebihnya kerajaan negeri.
“Kita akan pastikan setiap rakyat yang terkesan dengan bencana ini akan dilayan sebaik mungkin. Kita juga meminta kerjasama daripada penduduk terjejas supaya bertenang dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada JKM sepanjang berada di PPS nanti,” katanya.
Beliau ditemui media selepas melawat Mini Depoh Bencana JKM Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Samsuzuki berkata sebanyak 127 pembekal turut dilantik di seluruh daerah bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus ketika bencana berlaku.
Bagi memastikan keselamatan makanan di PPS, JKM mewajibkan 10 orang tukang masak yang bertugas secara gotong-royong di setiap PPS mendapatkan suntikan vaksin tifoid sebelum memulakan tugas.