
GOPENG, 9 November -Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disyaki hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Dataran Sungai Jahang, Kampung Jahang, Gopeng, tengah hari tadi.
- JBPM Perak terima panggilan pada 12.06 dan BBP Gopeng dikerahkan ke lokasi.
- Operasi pencarian dijalankan bersama PDRM, penduduk kampung dan syarikat pelancongan berhampiran.
- Sehingga 3.45 petang pasukan bergerak sejauh empat kilometer; radius diperluas, Pusat Kawalan Bomba dibuka dan operasi diteruskan.
Panggilan mengenai kejadian diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada 12.06 tengah hari sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi pencarian dilakukan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu penduduk kampung serta syarikat pelancongan yang berhampiran.
“Setakat 3.45 petang tadi, pasukan pencarian telah bergerak sejauh empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Radius pencarian akan diperluas dan Pusat Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, anggota BBP Kampar turut membantu dengan membuat pemantauan di hilir sungai berhampiran Kampar.
Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.