
WASHINGTON, 8 November – Pihak berkuasa di Boca Raton, Florida, Amerika Syarikat (AS) memansuhkan larangan memberi makan kepada iguana, burung merpati dan tikus yang sebelum ini dikuatkuasakan susulan pertikaian berlarutan antara dua jiran, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik dokumen majlis bandar raya itu.
- Pertikaian bermula bila seorang wanita kerap memberi makan burung merpati, menarik ratusan burung dan mencemarkan bumbung, kenderaan serta halaman jiran.
- Majlis bandar raya mengundi 3-2 meluluskan ordinan melarang meletakkan makanan yang boleh menarik sejumlah besar haiwan.
- Larangan itu turut merangkumi iguana dan tikus; pesalah berdepan denda minima AS$100.
- Ordinan dimansuhkan pada 13 Oktober dengan undi 4-1 selepas perbincangan, walaupun datuk bandar menentang cadangan pemansuhan.
Pertikaian itu bermula apabila seorang wanita tempatan kerap memberi makan kepada burung merpati. Jirannya mengadu tindakan berkenaan menarik kehadiran hingga 200 ekor burung ke kawasan sekitar rumahnya, yang didakwa mencemarkan bumbung, kenderaan dan halaman rumahnya. Meskipun menerima aduan, wanita itu terus memberi makan kepada burung-burung terbabit.
Malah pada mesyuarat majlis bandar raya, beliau mencabar pihak berkuasa untuk mengenakan saman ke atasnya.
Majlis bandar raya mengundi 3-2 pada 25 Ogos untuk meluluskan ordinan yang melarang penduduk meletakkan makanan dalam kuantiti yang boleh menarik sejumlah besar haiwan.
Walaupun pertikaian itu berpunca daripada burung merpati, sekatan berkenaan turut merangkumi iguana dan tikus. Pesalah berdepan denda sekurang-kurangnya US$100.
Bagaimanapun, ordinan itu hanya berkuat kuasa selama kurang daripada dua bulan. Pada 13 Oktober, majlis bandar raya mengundi 4-1 untuk memansuhkannya, menurut minit mesyuarat yang dilihat oleh RIA Novosti.
Semasa perbincangan, seorang anggota majlis yang pada awalnya menyokong sekatan itu menyuarakan pandangan bahawa peraturan perbandaran tidak wajar digunakan bagi menyelesaikan pertikaian antara individu berjiran.
Datuk Bandar merupakan satu-satunya anggota majlis yang menentang pemansuhan itu.
Beliau mencadangkan kompromi yang membenarkan penduduk terus memberi makan kepada burung merpati sambil mengekalkan sekatan terhadap pemberian makanan kepada iguana dan tikus.
Namun, majlis akhirnya memutuskan untuk memansuhkan keseluruhan ordinan berkenaan. -BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI