
KRAKOW, 8 November – Enam individu maut manakala 15 lagi cedera dalam insiden tembakan rambang di pusat bersejarah Krakow, Poland, pada Sabtu, yang dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 24 tahun, lapor agensi berita antarabangsa.
- Perdana Menteri Donald Tusk menggelar insiden itu keganasan; polis berkata suspek dipercayai mempunyai kecenderungan ideologi haluan kanan ekstrem.
- Dua anggota polis cedera ketika mengejar suspek; satu, Jakub Kulik, dilaporkan dalam keadaan serius dan pihak berkuasa mohon derma darah.
- Polis menemui tiga mayat di kediaman suspek, dipercayai ibu bapa dan kakaknya; tujuh senjata api turut dirampas untuk siasatan forensik.
- Kerajaan isytihar dua hari berkabung; orang ramai meletakkan lilin dan bendera dengan reben hitam dipasang sekitar bandar sebagai penghormatan.
Seorang warga Britain antara mangsa yang maut, manakala mangsa cedera terdiri daripada warga Austria, Britain, Jerman, Portugal dan Rusia, menurut pihak berkuasa kepada agensi berita PAP.
Susulan kejadian itu, kawasan Dataran Pasar Utama Krakow ditutup kepada orang awam pada Ahad, manakala orang ramai mula meletakkan lilin sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk menyifatkan insiden itu sebagai satu tindakan “keganasan”, manakala pihak polis memaklumkan suspek dipercayai mempunyai kecenderungan terhadap ideologi haluan kanan ekstrem.
Dalam kejadian itu, suspek yang dikenal pasti sebagai warga Poland berusia 24 tahun melepaskan tembakan secara rambang di kawasan pusat bersejarah berkenaan.
Dua anggota polis turut cedera ketika mengejar suspek yang memakai topeng muka serta pakaian bercirikan ketenteraan, termasuk jaket kalis peluru.
Menurut polis, suspek meninggalkan keretanya di sebuah persimpangan sebelum melepaskan tembakan menggunakan senapang separa automatik ke arah kedua-dua anggota berkenaan.
Suspek kemudian ditembak dan mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke hospital, dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Sementara itu, seorang daripada anggota polis yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan serius tetapi stabil, menurut Kementerian Dalam Negeri seperti dipetik PAP.
Polis turut merayu orang ramai tampil menderma darah bagi membantu anggota berkenaan yang dikenal pasti sebagai Jakub Kulik.
Beliau dipuji kerana bertindak berani berdepan penyerang bersenjata itu tanpa teragak-agak.
Dalam pada itu, rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan kedua-dua anggota polis melepaskan tembakan ke arah suspek, dengan seorang daripada mereka berjaya mencederakannya walaupun turut mengalami kecederaan.
Bendera hitam serta bendera Poland yang dipasang dengan reben hitam turut kelihatan di sekitar bandar itu sebagai tanda berkabung.
Kerajaan Poland mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari di seluruh negara bermula Ahad bagi memperingati mangsa.
Dalam perkembangan berasingan, polis menemui tiga mayat di kediaman suspek di Ostrowiec Swietokrzyski, kira-kira 150 kilometer di timur laut Krakow.
Polis wilayah mengesahkan ketiga-tiga mangsa dipercayai ibu bapa dan kakak suspek, masing-masing berusia 53, 52 dan 21 tahun.
“Kecederaan ditemukan pada mayat berkenaan dan penilaian awal mendapati ia dipercayai kesan tembakan. Tujuh senjata api turut dirampas dari kediaman itu,” menurut polis dalam kenyataan di media sosial.
Polis memaklumkan operasi melibatkan anggota antikeganasan, pakar forensik dan pendakwa raya diteruskan sepanjang malam di lokasi kejadian.
Menurut laporan media Poland yang memetik sumber penyiasat, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Lelaki itu juga dilaporkan merupakan ahli sebuah kelab menembak bersama bapanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Andy Burnham menyatakan rasa terkejut dan dukacita berhubung kejadian berkenaan.
“Saya terkejut dan amat berdukacita dengan insiden tembakan yang mengerikan ini,” katanya. – AFP