Belia Perlis santuni 20 keluarga sempena Deepavali

Foto RTM

KANGAR, 8 November – Seramai 20 keluarga masyarakat India sekitar Kangar menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali menerusi inisiatif kemasyarakatan yang digerakkan Ahli Parlimen Belia Malaysia mewakili Perlis, Rifqie Aiman Mohd Salehuddin, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rifqie Aiman turun padang menyantuni keluarga dan menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan kepada masyarakat setempat.
  • Inisiatif bukan sekadar berkongsi kegembiraan perayaan tetapi untuk mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum dan menyemai semangat saling menghormati.
  • Perpaduan perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan, bukan sekadar slogan, kata Rifqie.
  • Kerjasama generasi berpengalaman dan belia penting untuk kesinambungan kepimpinan serta memperkukuh hubungan kejiranan dan nilai perpaduan.

Rifqie Aiman yang juga Pengerusi Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Behor Lateh, Kayang, turun padang menyantuni keluarga terbabit bagi menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan berkongsi kegembiraan sempena Pesta Cahaya, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum serta menyemai semangat saling menghormati.

“Perpaduan tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan dalam kehidupan seharian.

“Kunjungan serta perkongsian kegembiraan sempena perayaan mampu menjadi medium untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir, Pengerusi KRT Behor Lateh, Areff Affandy Ariffin yang menyambut baik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.

Beliau berkata, kerjasama antara generasi berpengalaman dengan golongan pelapis penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan selain menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.

Penglibatan belia dalam program seumpama itu juga mampu memperkukuh hubungan kejiranan serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.