
DOHA, 8 November – Peningkatan pelaburan asing ke Malaysia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha mengubah fenomena penghijrahan bakat (brain drain) kepada pemulangan bakat (brain gain).
- Keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, tadbir urus dan prospek ekonomi tarik semula bakat Malaysia dari luar negara.
- Pertemuan Fahmi dengan diaspora di Doha mengeratkan hubungan rakyat dan kerajaan walaupun jauh dari tanah air.
- MAQ memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan, menyelaras sokongan komuniti dan membantu kedutaan uruskan pemulangan rakyat semasa krisis.
- Diaspora tekankan kepentingan maklumat tepat serta sesi bersemuka untuk jelaskan dasar dan isu keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan positif itu berupaya memberi ruang kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk kembali menyumbang kepakaran dan pengalaman bagi pembangunan tanah air.
“Keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan politik, tadbir urus serta prospek ekonomi negara yang kukuh menjadi dorongan utama untuk menarik semula anak tempatan di perantauan kembali berkhidmat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook rasminya selepas meluangkan masa bertemu diaspora Malaysia dalam satu majlis makan tengah hari di sini.
Ketika ini terdapat kira-kira 6,200 diaspora Malaysia yang menetap dan berkhidmat dalam pelbagai sektor industri serta pendidikan di Qatar.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Fahmi memberitahu kehadiran beliau ke Doha bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, malah memperkukuh jaringan antara rakyat dan kerajaan meskipun berada jauh dari tanah air.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali memaklumkan Persatuan Malaysia di Qatar (Malaysian Association in Qatar – MAQ) telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kesiapsiagaan berdepan situasi kecemasan serta potensi krisis keselamatan di rantau berkenaan.
Berucap pada majlis sama, Faizal menjelaskan bahawa MAQ yang menaungi kira-kira 30 kelab komuniti diaspora Malaysia bertindak sebagai jaringan sokongan utama kepada pihak kedutaan.
“Setakat ini, MAQ berjaya membantu Kedutaan Besar Malaysia menguruskan kira-kira 6,000 rakyat Malaysia ketika berlakunya krisis, termasuk menyelaras usaha membawa mereka pulang ke tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, bagi rakyat Malaysia yang kini menetap di Qatar, Edwin John Clement Henry berkata akses kepada maklumat tepat dan sahih adalah penting bagi mengelak kekeliruan khususnya ketika berdepan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat serta penyebaran pelbagai khabar angin menerusi media sosial.
Menurutnya, tanggapan bahawa rakyat Malaysia berada dalam situasi tidak selamat dan perlu dipindahkan pulang adalah tidak benar serta tidak menggambarkan situasi sebenar yang dialaminya bersama keluarga di Qatar.
“Kami berasa selamat meskipun berdepan dengan isu geopolitik yang berlaku.
“Ada dakwaan mengatakan bahawa kami tidak selamat berada di sini (Qatar) dan perlu dibawa keluar tapi semua dakwaan tersebut adalah tidak benar,” tegasnya.
Edwin yang berasal dari Selangor aktif dalam MAQ turut berpendapat sesi bersemuka dengan pemimpin kerajaan amat penting bagi membolehkan diaspora mendapatkan penjelasan langsung mengenai perkembangan semasa serta hal berkaitan dasar kerajaan.
Jelasnya, pertemuan bersama Menteri Komunikasi itu membuka ruang kepada diaspora berkongsi isu berkait kehidupan mereka, selain mengetahui usaha terkini kerajaan dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada ancaman pedofilia dan jenayah dalam talian.