
KANGAR, 8 November — Seramai 20 keluarga masyarakat India sekitar Kangar menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali menerusi inisiatif kemasyarakatan yang digerakkan Ahli Parlimen Belia Malaysia mewakili Perlis, Rifqie Aiman Mohd Salehuddin, pada Sabtu.
- Inisiatif kemasyarakatan menyantuni masyarakat setempat dan mengeratkan hubungan antara kaum melalui semangat kebersamaan.
- Penglibatan golongan belia penting sebagai ejen perpaduan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, perlu diterjemahkan melalui tindakan.
- Kerjasama antara generasi berpengalaman dan generasi pelapis memastikan kesinambungan kepimpinan serta kemajuan masyarakat dan negara.
Rifqie Aiman yang juga Pengerusi Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Behor Lateh, Kayang berkata inisiatif itu bertujuan menyantuni masyarakat setempat selain mengeratkan hubungan antara kaum menerusi semangat kebersamaan.
Beliau berkata penglibatan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan penting bagi memastikan generasi muda memainkan peranan sebagai ejen perpaduan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
“Malaysia dibina atas kekuatan kepelbagaian masyarakatnya, di mana belia yang progresif bukan sahaja perlu berani membawa perubahan, tetapi juga mesti berperanan sebagai ejen perpaduan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang.
“Perpaduan tidak seharusnya hanya menjadi slogan yang dilaungkan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan. Kadangkala kunjungan sederhana dan perkongsian kegembiraan sempena perayaan sudah cukup untuk mengeratkan hubungan sesama kita,” katanya ketika menyantuni keluarga masyarakat India sekitar Kangar.
Turut hadir Pengerusi KRT Behor Lateh, Areff Affandy Ariffin.
Sementara itu, Areff Affandy berkata kerjasama antara generasi berpengalaman dengan generasi pelapis penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kemajuan masyarakat dan negara.
Beliau berkata generasi terdahulu membawa pengalaman dan kebijaksanaan, manakala golongan muda pula menyumbang tenaga serta idea baharu dalam mendepani cabaran semasa.
“Gabungan kedua-duanya amat penting kerana kemajuan negara menuntut kesinambungan pengalaman dan pembaharuan, bukannya pertentangan antara generasi,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan yang dapat memperkukuh hubungan kejiranan serta menyemai nilai perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.